Jumaat, 24 Mac 2017

Roslin tiada dalam senarai ke Sukan Asia



ARKIB : 14/08/2002
Oleh SRY ANGRENI MOHD ZET
PEMAIN Nusa Mahsuri, Roslin Hashim sekali lagi tersingkir daripada senarai skuad badminton negara ke Sukan Asia, temasya besar kedua tahun ini selepas Sukan Komanwel.

Roslin, 27, yang pernah menjadi pemain nombor satu dunia selama kira-kira seminggu tahun lalu setelah menjuarai Terbuka Switzerland dan Terbuka Jepun 2001 gagal memikat pengurusan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk memilihnya beraksi pada Sukan Asia.

Malah penasihat badminton negara, Indra Gunawan terkejut dengan keputusan BAM memilih James Chua dan mengenepikan Roslin yang lebih berpengalaman.

Indra bagaimanapun mengakui tidak memihak kepada mana-mana pemain dalam pemilihan tempat keempat di temasya itu sebaliknya telah memberi senarai kelebihan dan kelemahan kedua-dua pemain sekiranya pemilihan terpaksa dibuat.

``Kedua-dua pemain mempunyai kelebihan dan kelemahan sendiri untuk dipilih. Roslin misalnya, kurang menyerlah sepanjang tahun ini tetapi dia merupakan antara pemain yang mempunyai pengalaman terutama beraksi di kejohanan besar seperti Sukan Asia.

``James pula telah mula membuktikan kemampuannya dan berjaya menjuarai Terbuka Malaysia. Tetapi dia masih kurang pengalaman dan belum melakukan sebarang kejutan dengan menewaskan pemain utama dunia di peringkat antarabangsa,'' ujarnya yang dihubungi di Kuala Lumpur semalam.

Indra mengakui beliau lebih selesa sekiranya lima pemain perseorangan tersenarai. Beliau bagaimanapun menerima keputusan BAM dan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) itu.

Jawatankuasa Pemilihan MOM yang bermesyuarat selama dua hari sejak kelmarin menyenaraikan lapan pemain lelaki dan tujuh pemain wanita untuk membawa cabaran negara dalam acara badminton di temasya empat tahun sekali itu.

Dan daripada jumlah itu tujuh daripada lapan pemain lelaki merupakan merupakan pemain yang beraksi dan memenangi pingat pada Sukan Komanwel baru-baru ini kecuali James.

Berikutan itu, Indra mahu James membuktikan kemampuannya pada Terbuka Singapura dan Terbuka Indonesia bulan ini.

``James harus bersedia dari segi mental dan fizikal untuk diturunkan pada Sukan Asia nanti. James juga harus membuktikan bahawa pemilihannya tidak sia-sia dengan beraksi cemerlang pada Terbuka Singapura dan Terbuka Indonesia bulan ini,'' katanya.

Selain daripada itu, Indra juga mahu James bersedia menghadapi sebarang kritikan sekiranya gagal membuktikan kemampuannya seperti yang diharapkan oleh semua pihak.

SENARAI PEMAIN

Perseorangan lelaki: Muhd Hafiz Hashim, Lee Tsuen Seng, Wong Choong Hann, James Chua

Beregu lelaki: Chan Chong Ming, Chew Choon Eng, Choong Tan Fook, Chang Kim Wai.

Perseorangan wanita: Ng Mee Fen, Wong Mei Choo, Wong Miew Kheng.

Beregu wanita: Ang Li Peng, Lim Pek Siah, Wong Pei Tty, Chiin Eei Hui.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0814&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4cFmV4sAv
© Utusan Melayu (M) Bhd

Khamis, 23 Mac 2017

Maafkan saya - Roslin - Kegagalan Malaysia menjulang Piala Thomas

ARKIB : 20/05/2002
 
BARISAN pemain badminton Indonesia ceria ketika Taufik Hidayat menjulang Piala Thomas selepas menewaskan Malaysia 3-2 pada perlawanan akhir di Gimnasium Tianhe, Ghuanzhou, China, semalam. - Gambar AFP.

GUANGZHOU - Mohd. Roslin Hashim menafikan tekanan yang terlalu tinggi menyebabkan dia bermain buruk ketika tewas 7-8, 2-7, 1-7 kepada Hendrawan, sekali gus menafikan hajat Malaysia untuk merangkul Piala Thomas selepas 10 tahun.

Roslin menegaskan, dia sudah memberikan yang terbaik namun lawannya bermain dengan baik menyebabkan permainannya tidak menjadi terutama pada dua set terakhir.

``Saya sudah mengeluarkan semuanya, apa yang anda lihat tadi itulah yang terbaik daripada saya,'' katanya.

``Bukan soal tertekan, saya memang sudah sedia untuk menghadapi perlawanan ini. Sebelum perlawanan saya sudah mengingatkan diri sendiri supaya memberi tumpuan kepada perlawanan, tetapi dia (Hendrawan) juga sudah amat bersedia untuk berdepan dengan saya.

``Saya minta maaf kerana kekalahan saya menyebabkan kita terlepas Piala Thomas ketika ia sudah begitu hampir. Saya tidak main-main...saya juga seperti rakan-rakan yang lain beraksi bersungguh-sungguh sehingga ke titisan terakhir.''

Begitupun jurulatihnya, Misbun Sidek mempunyai pandangan berbeza mengenai permainan anak buahnya itu, kata Misbun Roslin bermain di luar kemampuan sebenar kerana terpengaruh dengan tekanan dan pengharapan yang terlalu tinggi sebagai perseorangan ketiga.

Katanya, Roslin terlalu banyak melakukan kesilapan yang tidak sepatutnya dan gagal mengambil bola mudah, sesuatu yang jarang dilakukan pemain itu jika bermain di bawah permainan sebenar.

``Kebiasaannya dia akan memberikan tindak balas setiap kali tamat satu set, tetapi hari ini dia tidak banyak bercakap dengan saya dan hanya mendiamkan diri apabila saya cuba memberitahu apa yang tidak kena dengan permainannya.

``Saya tahu dia bukan Roslin Hashim yang sebenar ketika melangkah ke set kedua. Tekanan terlalu tinggi kerana dia tahu jika dia kalah, pasukan akan kalah jadi dia tidak mempunyai pilihan kecuali menang.''

Dengan kekalahan terbaru ini, Hendrawan kini melebarkan rekod kemenangan kepada 3-1, selepas memenangi dua pertemuan terdahulu di separuh akhir Terbuka Jepun 2000 serta suku akhir Sukan Asia 1998. Kemenangan tunggal Roslin dicapai pada peringkat kumpulan di Grand Prix Dunia Akhir 2000, Brunei. - Utusan

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0520&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4cCEn7HHT
© Utusan Melayu (M) Bhd

Jika bertemu China di Piala Thomas - Roslin akan diketepikan



ARKIB : 22/04/2002
Oleh Norzie Mohd. Khasbi
BEKAS pemain nombor satu dunia, Mohd. Roslin Hashim mungkin diketepikan jika Malaysia menentang China pada pusingan akhir Kejohanan Badminton Piala Thomas di Guangzhou, bulan depan.

Pemain Nusa Mahsuri itu memiliki rekod kurang baik setiap kali berdepan pemain China, malah pernah dikejutkan oleh pemain muda negara itu, Cai Yun pada pusingan kedua Terbuka Malaysia tahun lalu.

Sekiranya disenaraikan, Roslin yang mengisi posisi perseorangan ketiga pada kejohanan 9-19 Mei itu berpotensi untuk bertemu juara Terbuka Korea 2001, Lin Dan atau juara Seluruh England, Chen Hong.

``Saya tidak anggap mereka (pemain China) adalah `badi' buat saya, walaupun saya akui tidak mempunyai rekod yang baik ke atas mereka,'' kata Roslin, 27.

``Ini bukan soal mentaliti..tetapi corak permainan serta prestasi semasa mendorong kepada setiap keputusan, saya bersedia untuk beraksi jika diberi kepercayaan.''

Kegugupan Roslin berdepan pemain China amat ketara pada separuh akhir Seluruh England tahun lalu apabila dia yang hanya memerlukan satu mata untuk menang selepas memegang mata perlawanan pada set kedua, akhirnya memberi kemenangan kepada Chen Hong 10-15, 17-16, 15-12.

Roslin juga tewas dalam pertemuan terakhirnya dengan pemain veteran, Luo Yigang pada Seluruh England Mac lalu.

Malaysia, yang diletak dalam Kumpulan B bersama juara bertahan, Indonesia, Thailand dan Jerman berpotensi untuk berdepan China pada separuh akhir.

China, pilihan utama dan Korea Selatan dijangka menerajui Kumpulan A yang turut disertai juara kelayakan Eropah, Denmark dan Sweden.

Sementara itu Roslin menegaskan, dia berada pada tahap kecergasan terbaik untuk menghadapi Piala Thomas dan tidak pernah menyembunyikan kecederaan.

Tegasnya, nasib malang yang menimpanya pada dua pertandingan Piala Thomas lalu - pusingan akhir di Kuala Lumpur 2002 dan pusingan kelayakan di Melbourne hanya satu kebetulan.

``Saya tidak cedera sebelum kedua-dua kejohanan itu dan tidak tahu mengapa ia boleh berlaku,'' katanya yang terpaksa diketepikan pada pertengahan saingan selepas mengalami kecederaan bahu.

``Saya harap ia tidak berulang. Tetapi kalau ditakdirkan saya cedera lagi, saya tidak mahu ada prasangka buruk. Saya benar-benar bersedia sekarang, apa yang akan berlaku pada hari kejohanan saya tidak tahu.''

Roslin mengakui, pengalaman malang pada dua pertandingan lalu menimbulkan sedikit kebimbangan namun ia sama sekali tidak menjejaskan tumpuannya untuk mengutip mata buat negara.

China membariskan empat perseorangan terbaik dunia, Xia Xuanze, Bao Chunlai, Lin Dan dan Chen Hong selain pemain berpengalaman, Luo Yigang.

Malaysia pula menurunkan Wong Choong Hann, Ong Ewe Hock, Muhammad Hafiz Hashim, Lee Tsuen Seng dan Roslin.

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0422&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4c8v9psWk
© Utusan Melayu (M) Bhd

Sesi berganda Roslin, Hafiz - Latihan bersama skuad badminton kebangsaan



ARKIB : 20/04/2002
ROSLIN HASHIM (kanan) sempat bergurau dengan rakannya Ong Wee Hock pada sesi menjalani latihan kecergasan di Kong Ming Hall, Balakong semalam. - Gambar ZAKI AMIRUDDIN.

Oleh: NORZIE MOHD. KHASBI
PEMAIN Nusa Mahsuri, Mohd. Roslin Hashim dan adiknya, Muhammad Hafiz yang tersenarai dalam pasukan Piala Thomas ke Guangzhou bulan depan, mungkin menambah jumlah hari latihan bersama skuad kebangsaan.

Buat masa ini, kedua-dua pemain hanya menjalani latihan pusat tiga hari seminggu - Isnin, Rabu dan Jumaat iaitu pada sebelah petang.

Begitupun, dengan pengesahan nama mereka dalam skuad negara kelmarin, Roslin dan Hafiz dijangka akan lebih kerap menyertai latihan bersama rakan-rakan lain.

``Ia adalah sesuatu yang amat baik buat pasukan jika Roslin dan Hafiz mahu berlatih lebih kerap bersama kami,'' kata jurulatih perseorangan, Indra Gunawan.

``Dalam tempoh tiga minggu menjelang Piala Thomas apa yang kami cari adalah memupuk semangat berpasukan, kehadiran mereka dapat meningkatkan motivasi pasukan.''

Latihan skuad Piala Thomas ketika ini diadakan lima hari seminggu di Dewan Badminton Kong Meng, Balakong sebelum ia berpindah ke Stadium Badminton Kuala Lumpur (KLBA), Cheras Isnin ini.

Latihan tersebut sepatutnya sudah berpindah lebih awal tetapi masalah lampu di KLBA menyebabkan ia ditangguhkan sehingga minggu depan.

Sementara itu, Indra semalam tetap dengan pendiriannya bahawa pemilihan bekas pemain nombor satu dunia, Roslin adalah tepat walaupun pemain itu sedang mengalami kemerosotan prestasi.

Katanya, Roslin mampu membolehkan Malaysia memiliki barisan yang seimbang kerana pengalamannya dapat menjadi senjata utama dalam mencatur strategi.

``Saya percaya pengalaman Roslin masih amat berguna buat Malaysia,'' kata Indra. ``Sekarang terserah pada dia bagaimana hendak membalas kepercayaan itu.

``Pada saya Roslin harus bekerja keras untuk memastikan dia cukup bersedia membawa cabaran negara selain itu dia perlu mengelak sebarang kecederaan.''

Sementara itu Roslin berkata, dia dan Hafiz tidak mempunyai masalah menambah jadual latihan pusat malah mungkin menyertai latihan penuh sekali pun ia bukan satu kemestian.

Katanya dalam baki tiga minggu sebelum kejohanan 9-19 Mei ini, apa yang difikirkan adalah melakukan yang terbaik demi kepentingan negara.

Selain Roslin dan Hafiz, turut membawa cabaran perseorangan negara ialah Wong Choong Hann, Ong Ewe Hock dan Lee Tsuen Seng, manakala cabaran beregu dipikul oleh Chan Chong Ming-Chew Choon Eng, Choong Tan Fook-Lee Wan Wah dan Chang Kim Wai.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0420&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4c8g8reoB© Utusan Melayu (M) Bhd