ARKIB : 07/06/2001
SEVILLE, Sepanyol - Roslin
Hashim dikejutkan oleh pemain tidak terkenal, Tam Kai Chuen dari Hong Kong
dengan kekalahan straight set 15-10, 15-8 pada pusingan kedua Kejohanan
Badminton Dunia di Stadium San Pablo di sini, semalam.
Pemain nombor satu dunia itu
gagal memberikan saingan mantap apabila sentiasa berada di belakang Kai Chuen
yang bukan merupakan pemain pilihan.
Pemain nombor satu negara
ketinggalan 0-3 dan 6-11 sebelum menyerah pada set pertama. Set kedua menyaksikan
dia terus di belakang dengan 1-8 dan 6-12 sebelum Kai Chuen menamatkan
permainan dengan 15-8.
Malaysia bagaimanapun masih
mempunyai cabaran dalam acara perseorangan apabila Lee Tsuen Seng dan Ong Ewe
Hock selepas menewaskan lawan masing-masing.
Tsuen Seng yang terpaksa
bermain dua pusingan dalam tempoh kurang 20 jam bagaimanapun menjadi perhatian
apabila membuat kejutan menewaskan pemain pilihan 9/16 Shon Seung Mo dari Korea
10-15, 17-16, 15-7 awal pagi semalam yang berlarutan selama 1 jam 43 minit.
Kira-kira 16 jam kemudian, dia
menghadapi satu lagi perlawanan sengit, kali ini menentang pemain tidak
ternama, Jim Ronny Andersen dari Norway di pusingan kedua.
Pemain berusia 22 tahun itu
terpaksa bertarung tiga set lagi selama 78 minit sebelum menang 10-15, 15-12,
15-0 untuk bertemu bekas pemain nombor satu dunia, Peter Gade Christensen dari
Denmark di pusingan ketiga.
Mengulas mengenai perlawanan
pusingan pertama itu, Tsuen Seng berkata, dia bermain bermati-matian kerana
tidak mahu tersingkir selepas hanya berpeluang bermain sekali, di sini.
``Saya tidak mahu kalah awal,
lagipun datang begitu jauh, takkanlah hendak bermain satu perlawanan sahaja.
``Saya ingin mara lebih jauh
dan membuktikan kemampuan saya berada di peringkat lebih tinggi,'' katanya.
Sementara itu, Ewe Hock, pemain
pilihan 9/16 yang menyingkirkan Kasper Oedum dari Denmark di pusingan pertama
mara ke pusingan ketiga setelah menewaskan Park Tae Sang dari Korea 15-11,
15-9.
Ewe Hock akan membuat
perhitungan dengan Chen Hong yang menewaskan Indra Wijaya dari Singapura.
``Esok merupakan pertemuan
sukar tetapi saya berharap dapat mengekalkan prestasi yang ada sekarang dan
berusaha bermain lebih pantas daripada Cheng Hong,'' katanya.
Turut mara ialah pasangan
beregu, Choong Tan Fook-Lee Wan Wah yang menewaskan David Lindley-Peter Jeffrey
dari England 15-4, 15-4.
Dalam perkembangan yang sama,
kesemua beregu wanita negara menamatkan cabaran mereka semalam setelah
gandingan Lim Pek Siah-Fong Chen Yen dan Wong Pei Tty-Ang Li Peng tewas di
pusingan pertama semalam.
Pek Siah-Chen Yen tewas 15-9,
15-7 dalam masa 17 minit kepada beregu Jepun, Shizuka Yamamoto dan Seiko Yamada
sementara Pei Tty-Li Peng pula kecundang 15-6, 15-3 di tangan beregu pilihan
5/8 Huang Sui-Gao Lin dari China.
Ng Mee Fen yang menewaskan
pemain Austria, Simolne Prutsch 11-5, 11-2 di pusingan pertama pula gagal mara
ke pusingan ketiga setelah tewas kepada pemain pilihan kedua, Zhou Mi dari
China 11-0, 11-4. - Utusan
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0607&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4beBC33s7
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan