ARKIB : 21/11/2001
Oleh SRY ANGRENI MOHD ZET
PEMAIN utama Kelab Nusa Mahsuri,
Roslin Hashim tidak berhasrat untuk mengejar posisi sebagai pemain perseorangan
pertama pada pusingan kelayakan dan pusingan akhir kejohanan berpasukan
badminton Piala Thomas-Uber Februari dan Mei depan.
Roslin, 26, walaupun mempunyai
pengalaman sebagai perseorangan pertama dalam acara berpasukan pada Sukan SEA
XXI September lepas, namun kedudukan itu bukan keutamaannya pada penyertaannya
di Piala Thomas.
``Saya tak kisah sama ada
diletakkan sebagai pemain perseorangan pertama, kedua mahupun ketiga.
``Saya telahpun mendapat
pengalaman sebagai pemain perseorangan pertama pada Sukan SEA dan perseorangan
ketiga serta pemain simpanan pada dua Piala Thomas lalu.
``Bagi saya di mana-mana saja
tetap sama, yang penting saya berpeluang membantu menyumbang mata untuk pasukan
bagi memastikan kemenangan,'' katanya yang ditemui selepas latihan di Kompleks
Sukan MPPJ, Kelana Jaya, semalam.
Pemenang pingat emas Sukan SEA
itu bagaimanapun mengakui kedudukan sebagai perseorangan pertama dan ketiga
lebih tertekan berbanding perseorangan kedua.
``Memang semua pemain penting
dalam setiap acara berpasukan, tetapi berdasarkan pengalaman, saya rasa
kedudukan sebagai perseorangan pertama dan ketiga lebih kritikal kerana pemain
itu menjadi penentu kedudukan pasukan.
``Perseorangan pertama perlu
mempamerkan prestasi sempurna dan sebaik-baiknya meraih mata untuk meningkatkan
motivasi dan keyakinan pemain lain dalam pasukan sementara perseorangan ketiga
pula kerap menjadi penentu kemenangan mahupun kekalahan pasukannya,'' katanya.
Dalam perkembangan yang sama,
berdasarkan prestasi semasa, Roslin secara peribadi berpendapat China selaku
tuan rumah kejohanan itu mempunyai peluang besar untuk merampas Piala Thomas
daripada Indonesia yang telah empat kali berturut-turut menenangi piala
tersebut.
``Keputusan IBF (Persekutuan
Badminton Antarabangsa) menggunakan sistem tujuh mata pada kejohanan ini
sememangnya memberi laluan besar untuk China menang.
``China merupakan satu-satunya
negara yang mempunyai ramai pemain muda yang mampu menguasai sistem ini
berbanding Indonesia yang lebih menjurus ke arah sistem 15 mata.
``Selain daripada China, kita
(Malaysia) juga merupakan antara pemain yang agak menonjol di kejohanan tujuh
mata berbanding negara lain, tetapi kita agak kurang seimbang dari segi
kekuatan pemain perseorangan dan beregu,'' jelasnya.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=1121&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4bpQLDErq
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan