Selasa, 21 Mac 2017

Roslin kena rehat hari ini



 ARKIB : 22/02/2002
MELBOURNE - Pemain Nusa Mahsuri, Roslin Hashim dijangka direhatkan untuk kedua-dua perlawanan hari ini menentang Australia dan Hong Kong berikutan kecederaan siku kanan yang berulang semalam.

Roslin, 26, terpaksa memberi kemenangan percuma kepada pemain Jepun Shinya Ohtsuka walaupun telah mendahului 2-1 pada perlawanan ketiga menentang negara matahari terbit. Menurut Roslin, kecederaan itu berlaku ketika dia mendahului 6-5 pada set kedua setelah memenangi set pertama 7-0.

``Semasa hendak membuat pukulan forehand siku saya tiba-tiba merasa sakit.

Ini menyebabkan saya tidak boleh membuat pukulan kuat untuk menghantar bola ke belakang ataupun melakukan smash,'' katanya di Pusat Sukan dan Akuatik Melbourne, selepas perlawanan menentang Jepun, semalam.

Menurut Roslin, ia merupakan kecederaan lama yang pernah berlaku ketika beraksi pada kejohanan Piala Thomas di Kuala Lumpur dua tahun lalu.

``Saya tidak sangka kecederaan ini datang semula kerana saya tidak mengalaminya selepas pulih dulu. Ia berlaku secara tiba-tiba,'' katanya yang mengambil sejenis ubat sejak dua atau tiga minggu lalu sebagai satu langkah berjaga-jaga.

Menurut pemain kelahiran Kelantan itu, dia akan membawa ubat itu kepada doktor perubatan Persekutuan Badminton Antarabangsa (IBF) untuk mengesahkan.

Menurut Roslin, berikutan kecederaan ini dia menjangkakan akan hanya diturunkan pada perlawanan separuh akhir menentang Korea atau Thailand, esok.

Roslin menjelaskan, dia mengambil keputusan untuk memberi kemenangan percuma semalam kerana tidak mahu kecederaan yang dialami menjadi lebih teruk seperti ketika beraksi pada Piala Thomas 2000.

``Ketika itu saya langsung tidak boleh memegang reket kerana kecederaan yang alami. Saya tidak mahu perkara seperti ini berulang,'' ujarnya.

Sementara itu, penasihat badminton negara, Indra Gunawan dan jurulatih Misbun Sidek enggan mengesahkan sama ada Roslin akan direhatkan pada kedua-dua perlawanan hari ini.

``Roslin memang tidak akan diturunkan pada perlawanan menentang Australia pada sebelah pagi tetapi perlawanan menentang Hong Kong kita akan putuskan kemudian,'' kata Indra. - Utusan

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0222&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_07.htm#ixzz4bwmMNQT5
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan