Khamis, 21 Disember 2017

Penceraian tidak jejas hajat

ARKIB : 21/02/2009
Oleh NORZIE MOHD. KHASBI
norzie.khasbi@utusan.com.my
KUALA LUMPUR - Muhd. Roslin Hashim tidak akan membenarkan penceraiannya merosakkan hajat besar untuk menutup karier badminton dengan sekurang-sekurangnya satu kejuaraan, tahun ini.

Walaupun tidak menyatakan kejohanan manakah yang amat diinginkan, namun pemain Nusa Mahsuri itu berkata, dia mahu menutup kalendar 2009 dengan satu gelaran yang akan dikenang sebelum menggantung raket.

Roslin, 34, mengumumkan hasrat untuk bersara pada hujung tahun ini selepas majlis persandingannya di Puchong, 1 Februari lalu.

Meskipun tumpuannya ketika ini terganggu dengan kisah penceraiannya yang sudah diketahui oleh umum, apatah lagi ketika usia perkahwinan baru mencecah 12 hari, namun Roslin berkata, keadaan itu tidak akan memberi tekanan.

"Saya tidak rasa tertekan atau malu kerana semua orang sudah tahu kisah rumah tangga saya, sebaliknya saya rasa lega kerana semua masalah sudah selesai dengan baik.

"Saya tidak anggap ia (perkahwinan) satu kesilapan, sebaliknya saya terima qada dan qadar, mungkin sampai di sini saja jodoh saya, dan hidup kena diteruskan.

"Badminton adalah periuk nasi saya, walau apa sekali pun masalah yang saya hadapi, saya tidak boleh mensia-siakan periuk nasi saya, apatah lagi 2009 merupakan tahun terakhir saya sebagai pemain badminton.

"Saya akan bersara pada akhir tahun ini dan jadi saya mahu menutup karier dengan satu kejayaan yang akan dikenang, tidak kiralah ia kejohanan besar atau kecil, saya mahu sekurang-kurangnya satu kejuaraan,'' ujar bekas juara Terbuka Jepun itu.

Roslin, yang menghuni ranking ke-49 dunia melafazkan cerai ke atas isterinya, Faizah Mohamad pada 11 Februari lalu, hanya 12 hari selepas bernikah pada 30 Januari.

Begitupun dia enggan kisah peribadinya terus diperkatakan, sebaliknya meminta agar tumpuan diberikan kepada karier badminton dan persiapan menghadapi Terbuka India pada 24-29 Mac ini.

"Dengan keadaan sekarang ini, bagus juga saya tidak bertanding pada Seluruh England (3-8 Mac) dan Terbuka Switzerland (10-16 Mac), sekurang-kurangnya saya ada lebih banyak masa untuk persiapan Terbuka India.

"Sebenarnya saya tarik diri pada kedua-dua kejohanan bukan kerana masalah peribadi, cuma saya kurang bersedia daripada segi fizikal. Maklumlah, sejak beberapa bulan ini latihan tidak cukup kerana saya sibuk dengan urusan perkahwinan.

"Tetapi sekarang, bila jadi benda macam ini, saya fikir elok jugalah saya tidak pergi ke sana, fikiran saya mungkin belum stabil tetapi percayalah saya akan bangkit dan mencari keputusan terbaik di India serta kejohanan seterusnya,'' katanya lagi, yang bercadang menjadi jurulatih selepas persaraan.
sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0221&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz51unYrAbT

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan