ARKIB : 08/01/2009
KUALA LUMPUR - Walaupun
tersingkir pada pusingan pertama Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia semalam,
namun jaguh veteran negara, Muhd. Roslin Hashim (gambar) menegaskan persaraan
tidak terlintas di fikiran, malah menganggap kehidupan barunya akan bermula
pada 2009.
Semalam, bekas pemain nombor
satu dunia itu tewas 17-21, 14-21 kepada pemain India, Anup Sridhar pada
perlawanan pertamanya selepas berehat panjang selama empat bulan.
Roslin yang baru kembali
daripada menunaikan ibadah haji bagaimanapun menegaskan, kekalahan itu tidak
membimbangkan kerana dia sememangnya sedar keadaan fizikalnya kurang bersedia.
Lagipun, fikirannya kini turut
tertumpu kepada persiapan menghadapi hari bahagia kerana bakal menamatkan zaman
bujang dengan wanita pilihannya pada akhir bulan ini.
"Pergerakan saya agak
perlahan hari ini kerana baru kembali beraksi selepas berehat panjang, lagipun
permainan saya juga sedikit terganggu dengan kesakitan pinggul kanan.
"Mengikut jadual saya akan
bertanding pada Terbuka Korea minggu depan tetapi sekarang saya kena dapatkan
dulu pandangan dari doktor. Saya kena melakukan rawatan sebelum tahu keadaan
sebenar.
"Memang sedih kerana
terpaksa memulakan tahun baru dengan kekalahan seperti ini, tetapi saya tidak
bimbang kerana perjalanan 2009 masih panjang dan saya tahu fizikal saya masih
mampu memberi cabaran yang kompetitif," kata Roslin.
Kata Roslin lagi, kekalahan
kepada Anup tidak langsung mendorongnya untuk memikirkan soal persaraan,
sebaliknya dia tetap bersemangat untuk mencari kejuaraan pertama sejak kali
terakhir menjuarai Terbuka Vietnam, dua tahun lalu.
Malah tegas Roslin, sudah
terlalu lama dia tidak menggenggam kejuaraan besar sejak muncul juara Terbuka
Jepun pada 2001, kemenangan yang turut membawa gelaran pemain nombor satu dunia
kepadanya ketika itu.
Ketika ditanya apakah
perkahwinan bakal menyemarakkan lagi karier badmintonnya, Roslin berkata:
"Ia akan memberi kehidupan baru kepada saya, satu tanggungjawab yang baru
tetapi semangat saya tetap sama seperti dulu.
"Selama ini pun saya
sentiasa bersemangat dan dahagakan kejuaraan kerana badminton adalah periuk
nasi saya dan harap rezeki selepas kahwin akan bertambah dan mungkin
menghadirkan lebih banyak kejayaan. Sasaran saya tahun ini adalah cuba memburu
sekurang-kurangnya dua gelaran antarabangsa."
Roslin, 34, akan menamatkan
zaman bujangnya dengan gadis yang berasal dari Puchong, Selangor, Faizah
Muhammad yang sudah dikenalinya sejak dua tahun lalu.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0108&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_08.htm#ixzz51II0FgeO
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan