ARKIB : 12/08/2001
PEMAIN negara, Roslin Hashim
terjatuh semasa perlawanan separuh akhir bertemu Xia Xuanze dari China pada
Kejohanan Badminton Grand Prix Dunia di Brunei, semalam. - Reuters.
Daripada NORZIE KHASBI
BANDAR SERI BEGAWAN - Hasrat
untuk menyaksikan gelaran perseorangan lelaki pusingan akhir Grand Prix
Badminton Dunia kembali ke Malaysia tidak kesampaian apabila harapan tunggal
negara, Roslin Hashim tersingkir pada separuh akhir di Stadium Hassanal Bolkiah,
semalam.
Roslin, 26, yang diharap mampu
menjadi pemain kedua selepas Rashid Sidek memenanginya pada 1992 gagal
mengulangi kejayaan itu selepas tunduk 7-3, 4-6, 7-8, 7-0, 0-7 kepada pemain
China, Xia Xuanze dalam masa selama satu jam, enam minit.
Walaupun memaksa Xuanze
mengikut rentak permainannya, Roslin gagal memanfaatkan kelemahan lawan yang
jelas keletihan dengan Xuanze hampir berputus asa ketika tewas 0-7 dalam set
keempat.
``Saya melepaskan kesempatan
terbaik meskipun sudah begitu hampir ke akhir. Ia bukan sesuatu yang
mengecewakan kerana saya sudah melepasi sasaran awal untuk lepas peringkat
kumpulan,'' kata Roslin.
Roslin, yang mengejutkan juara
dunia dari Indonesia, Hendrawan 7-1, 2-7, 8-6, 7-0 dalam perlawanan terakhir
kumpulan B kelmarin tetap membawa pulang hadiah AS$6,000 (RM22,800) kerana
layak ke separuh akhir.
Roslin gemuruh apabila
ketinggalan 0-3 dalam set pembukaan tetapi bangkit mengutip lima mata
berturut-turut menerusi satu servis dengan kedudukan 5-3, sebelum menambah dua
mata untuk menang 7-3.
Xuanze, pemenang pingat gangsa
Sukan Olimpik terperangkap dengan permainan rali lawan. Begitu pun pemain muda
China itu bijak membaca kelemahan Roslin untuk menang 6-4 pada set kedua.
Set ketiga lebih mendebarkan
apabila kedua-dua terikat lima kali pada kedudukan 3-3, 4-4, 5-5, 6-6 serta 7-7
dengan masing-masing bertukar empat servis pada kedudukan 7-7. Bagaimanapun
Xuanze mengutip mata kemenangan selepas smash Roslin sangkut di jaring.
Ketinggalan 1-2, Roslin kembali
menceriakan kira-kira 500 penonton yang memberikan sokongan apabila mengutip
tujuh mata tanpa balas pada set keempat.
Ketika Roslin masih bertenaga
dan Xuanze keletihan, set kelima dijangka mudah dikuasai oleh pemain negara
itu. Bagaimanapun keadaan menjadi sebaliknya apabila Xuanze memanfaatkan
kelemahan servis lawan dan akhirnya menang 7-0.
Ini kali pertama Roslin tewas
kepada Xuanze selepas memenangi tiga pertemuan terdahulu dengan perlawanan
terakhir pada suku akhir Seluruh England, Mac lalu.
Xuanze akan bertemu juara baru
Terbuka Indonesia, Marleve Mainaky yang turut layak ke akhir dengan menewaskan
pemain nombor satu dunia, Chen Hong dari China 2-7, 7-1, 7-5, 7-5.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0812&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4bi7xw4sV
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan