ARKIB : 02/06/2001
SEVILLE, Sepanyol - Pemain
Indonesia, Hendrawan menjanjikan persaingan sengit antaranya dengan Roslin
Hashim yang dianggap sebagai pencabar utama pada laluannya ke suku akhir
Kejohanan Badminton Dunia di sini, 3-10 Jun ini.
Pemain nombor dua Indonesia itu
mengakui pertemuan mereka pada pusingan ketiga pasti memenatkan tidak kira
siapa pemenangnya.
``Saya pasti ia bakal
menampilkan satu perlawanan yang memenatkan. Siapapun yang menang sudah pasti
akan keletihan untuk beraksi dalam pertemuan berikutnya,'' kata Hendrawan yang
ditemui selepas latihan di Pusat Sukan Rochelambert, Seville, semalam.
Pemain berusia 29 tahun itu
mengakui Roslin kini mempunyai kekuatan fizikal serta semangat dan keyakinan
yang tinggi terutama setelah menjuarai dua kejohanan berturut-turut - Terbuka
Switzerland dan Terbuka Jepun, Mac dan April lepas.
Meskipun usianya empat tahun
lebih tua daripada Roslin serta rekod pertemuan memihak kepada pemain Malaysia
kelahiran Kelantan itu, Hendrawan yakin peluang untuknya merangkul gelaran
juara di kejohanan ini semakin hampir.
``Saya pemain yang lambat
matang. Prestasi saya hanya meningkat ketika saya berusia 25 tahun. Saya mahu
menjuarai kejohanan dunia dulu sebelum memikirkan tentang berapa lama lagi saya
mahu main.
``Jika saya menjuarai kejohanan
kali ini, saya mungkin mengambil keputusan untuk bersara tidak lama selepas
itu,'' katanya yang menanti kelahiran anak pertama tidak lama lagi.
Hendrawan pernah menewaskan
Roslin, 25, dua kali pada Sukan Asia 1998 di Bangkok dan separuh akhir Terbuka
Jepun 2000 yang menyaksikannya muncul naib juara.
Pemenang pingat perak Sukan
Olimpik 2000 itu bagaimanapun tewas kepada Roslin pada kejohanan Ipoh Masters
1999.
Roslin yang diletakkan sebagai
pilihan pertama dijadual bertemu Gupta Abhinn Shyam dari India pada pusingan
pertama sebelum dijadual berdepan pemenang pertemuan antara Tam Kai Chuan atau
seorang pemain daripada pusingan kelayakan, pada pusingan kedua.
Hendrawan, pilihan 9/16 pula
akan bertemu pemain daripada pusingan kelayakan pada pertemuan awal sebelum
membuat perhitungan sama ada dengan Andrew Dabeka (Kanada) atau Rasmus Wengberg
dari Sweden pada pusingan berikutnya.
Kedua-dua pemain akan bertemu
di pusingan ketiga bagi merebut tempat ke suku akhir. - Utusan
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0602&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4bdzNXK3O
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan