ARKIB : 27/05/2001
ROSLIN (kanan) menunjukkan cara
latihan ringan kepada adik-adiknya, Mohammad Hashim (kiri) dan Mohammad Hafiz
Hashim di Kompleks Sukan Majlis Perbandaran Petaling Jaya, Kelana Jaya.
Oleh: SRY ANGRENI MOHD ZET
JURULATIH Nusa Mahsuri, Misbun
Sidek mengingatkan anak didiknya, Roslin Hashim agar berhati-hati dengan
beberapa pemain yang dilihat sukar untuk muncul juara tetapi menjadi pengacau
terhadap usahanya merangkul gelaran pada Kejohanan Badminton Dunia di Seville,
Sepanyol 3-10 Jun ini.
Menurut Misbun, beberapa pemain
pilihan seperti Hendrawan dan Taufik Hidayat dari Indonesia, Anders Boesen
(Denmark), Xia Xuanze (China) sukar untuk menjuarai kejohanan itu tetapi mampu
menghalang laluan Roslin untuk ke akhir.
``Roslin perlu berhati-hati
kerana pemain-pemain ini akan mengacau peluangnya untuk mara ke pusingan
seterusnya.
``Hendrawan misalnya yang akan
menentang Roslin di pusingan ketiga agak sukar untuk diramal permainannya
walaupun ketika ini dia kurang menyerlah,'' kata Misbun yang dihubungi di Kuala
Lumpur, semalam.
Roslin dijangka menemui Boesen
atau Xuanze di suku akhir dan mungkin bertemu Taufik, Lee Hyun Ill (Korea),
Kenneth Jonassen (Denmark) yang merupakan antara beberapa pemain ranking
teratas dunia di separuh akhir.
Pemain kelahiran Kelantan
berusia 25 tahun itu sebelum ini menyenaraikan tiga pemain, Taufik, Cheng Hong
(China) dan Hyun-Ill yang mempunyai corak permainan tersendiri yang mampu
menggugat prestasinya.
Berikutan itu, Misbun berkata,
cara Roslin pulih daripada pukulan terbaik lawannya serta ketahanan steminanya
semasa bermain merupakan senjata utama bagi melepasi halangan itu.
``Dia perlu mempunyai kekuatan
stamina yang melebihi pemain lain dan mampu bertahan lama dalam permainan untuk
berjaya di kejohanan ini,'' katanya.
Kali terakhir Roslin bertemu
Xuanze di suku akhir kejohanan Seluruh England Mac lepas yang menyaksikan
pemain China itu tumpas 15-8, 15-6.
Rekod terbaru pertemuan dengan
Boesen juga memihak kepada Roslin yang menang 15-7, 15-11 di pusingan ketiga
Terbuka Korea awal tahun ini.
Malaysia kini mengharapkan
Roslin untuk menjadi pemain negara pertama mara ke peringkat akhir kejohanan
berprestij itu.
Pencapai terbaik pemain
perseorangan negara di kejohanan individu itu adalah mara ke suku akhir
dicatatkan oleh Rashid Sidek di Beijing pada 1987 dan Lausanne (1995).
Beregu negara bagaimanapun
pernah beberapa kali mara ke akhir, kali pertama menerusi gandingan Jalani
Sidek dan Razif Sidek yang tewas pada Li Yongbo-Tian Bingyi dari China pada
1987 di Beijing.
Cheah Soon Kit-Soo Beng Kiang
melakukannya pada pertandingan di Birmingham pada 1993 dan Soon Kit-Yap Kim
Hock di Glasgow (1997).
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0527&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4bdmNjErX
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan