ARKIB : 05/05/2007
Roslin tuntut ganti rugi -
RM70,000 antara 5 syarat selesai luar mahkamah
Oleh: NORZIE MOHD. KHASBI
ELYAS Omar (kiri) bersalaman
dengan Muhd. Roslin Hashim sambil diperhatikan oleh Jailani Sidek pada
pertemuan di pejabat Pesuruhjaya Sukan di Bukit Jalil, semalam.
KUALA LUMPUR – Slot ke
Kejohanan Dunia, 13-19 Ogos ini dan ganti rugi RM70,000 antara lima perkara
yang dituntut jaguh veteran, Muhd. Roslin Hashim daripada Persatuan Badminton
Malaysia (BAM) sebagai syarat menyelesaikan kemelut di luar mahkamah.
Tiga lagi tuntutan Roslin ialah
sejumlah RM32,600 yang akan diperoleh sekiranya menjuarai Terbuka Singapura dan
Indonesia, bonus RM5,000 yang akan diberi oleh Nusa Mahsuri jika muncul juara
kedua-dua kejohanan itu dan ketiga, mahu BAM membiayai perbelanjaannya pada
kejohanan yang memberi mata kelayakan ke Sukan Olimpik Beijing 2008.
Roslin, 32, bersetuju
menangguhkan hasrat mengheret BAM ke muka pengadilan sekiranya badan itu
bersetuju mempertimbangkan beberapa tuntutan.
Tuntutan tersebut dikemukakan
menerusi Pesuruhjaya Sukan, Tan Sri Elyas Omar dalam pertemuan hampir sejam di
pejabatnya di Bukit Jalil, semalam.
Bagi Roslin, apa yang diminta
tidak keterlaluan dengan mengambil kira kerugian yang dialami, bukan saja dari
segi pendapatan tetapi laluan yang semakin sukar untuk melayakkan diri ke
Kejohanan Dunia dan Sukan Olimpik 2008, selain gangguan emosi.
“Saya percaya ia adalah
tuntutan yang wajar selepas mengambil kira kerugian dan kesan yang saya alami
akibat tidak bertanding pada Terbuka Singapura dan Indonesia.
“Saya bukan saja hilang sumber
pendapatan kerana dikenakan penalti oleh penaja, malah berdepan laluan yang
sukar untuk layak ke Kejohanan Dunia dan Sukan Olimpik, jadi mereka (BAM) harus
bertanggungjawab di atas kecuaian yang telah memberi masalah kepada saya,’’
kata Roslin ketika ditemui di Bukit Jalil, semalam.
Menjelaskan secara terperinci
tentang lima tuntutannya, Roslin berkata, jumlah RM70,000 diminta daripada BAM
adalah jumlah penalti yang dikenakan penajanya, Yonex kerana tidak bertanding
dalam dua kejohanan Siri Super tanpa alasan kukuh.
“Mengikuti perjanjian, penajaan
saya akan dipotong sebanyak 10 peratus sekiranya tidak beraksi dalam sesuatu
kejohanan tanpa alasan kukuh seperti kecederaan.
“Kerana tidak bertanding di
Singapura dan Indonesia, penajaan saya dipotong 20 peratus iaitu RM70,000.
Badminton adalah pendapatan saya, jadi saya harap anda faham,’’ katanya.
Bagaimanapun, Roslin mengakui,
dia terlalu mengikut emosi ketika bertindak meluru mahu menyaman BAM tanpa
merujuk kepada saluran lain seperti Pesuruhjaya Sukan dan mujurlah Menteri
Belia dan Sukan, Datuk Seri Azalina Othman Said memintanya berjumpa Elyas.
Katanya, hasil perjumpaan
semalam sangat positif dan Elyas berjanji akan menyelesaikan perkara ini
secepat mungkin dan menjadi orang tengah.
Tegas Roslin lagi, meskipun dia
bersedia untuk menerima apa jua keputusan , namun dia tidak menolak mengheret
kembali isu ini ke mula pengadilan andai penamatnya tidak seperti diharapkan.
Pertemuan Roslin dengan
Pesuruhjaya Sukan, semalam turut ditemani Presiden Nusa Mahsuri, Jalani Sidek.
Sementara itu, Elyas berkata,
beliau akan cuba menyelesaikan isu Roslin selewat-lewatnya dua minggu dan akan
memanggil kedua-dua pihak sekali lagi.
Katanya, tindakan Roslin
merujuk perkara ini kepada beliau adalah tepat kerana jika ia menjadi kes
mahkamah, tiada siapa dapat masuk campur, malah mungkin akan berlarutan lebih
lama.
“Selain Roslin, BAM juga akan
dipanggil untuk memberi penjelasan dan saya harap kami dapat menemui
penyelesaian yang sebaiknya buat kedua-dua pihak tanpa perlu dipanjangkan ke
mahkamah,’’ kata Elyas.
sumberArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0505&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4tZdtUvAs
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan