Khamis, 21 September 2017

Terbuka Jerman: Roslin ketuai kemaraan pemain negara



ARKIB : 02/03/2007

KUALA LUMPUR – Pemain veteran negara, Muhammad Roslin Hashim mara ke pusingan ketiga Kejohanan Badminton Terbuka Jerman semalam, tetapi bakal berdepan cabaran sukar juara dunia, Lin Dan dari China di Mulheim, hari ini.

Cabaran perseorangan lelaki Malaysia pada kejohanan bernilai AS$80,000 (RM280,560) itu turut diteruskan jaguh veteran, Wong Choong Hann dan bekas pemain kebangsaan, Lee Tsuen Seng.

Semalam, Roslin yang diletak sebagai pilihan ke-9/16 diberi tentangan sengit oleh pemain tidak ternama Austria, Juergen Koch sebelum menang 20-22, 21-6, 21-11 dalam masa 51 minit.

Lin Dan, 24, yang memburu kejuaraan keduanya tahun ini, selepas memenangi Terbuka Korea, Januari lalu pula mara dengan menewaskan pemain muda Indonesia, Tommy Sugiarto 21-12, 21-19.

Roslin, 32, tidak pernah mengalahkan pemain nombor satu dunia itu dalam lima pertemuan kedua-dua pemain termasuk tewas 18-21, 15-21 pada suku akhir Terbuka Korea.

Sementara itu, Choong Hann yang terdesak mencari mata untuk memperbaiki ranking dunia, menewaskan jaguh veteran Hong Kong, Ng Wei 21-14, 23-21.

Bekas pemain utama negara itu, yang gagal melepasi pusingan kelayakan di Terbuka Korea dan kini berada di ranking 72 dunia akan berdepan pemain Singapura dan pilihan ke-9/16, Kendrick Lee.

Dalam satu lagi perlawanan, pemain Kelab Raket Kuala Lumpur (KLRC), Tsuen Seng menyingkirkan pemain pelapis kebangsaan, Tan Chun Seang 21-14, 21-11 untuk bertemu pemain Korea, Park Sung Hwan.

Cabaran seorang lagi pemain skuad pelapis kebangsaan, Liew Daren bagaimanapun berakhir dengan kekalahan 19-21, 12-21 kepada pemain Lithuania, Kestutis Navickas.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0302&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4tKuOQinp
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan