Isnin, 4 September 2017

Roslin bermula penuh bergaya



ARKIB : 12/10/2006

KUALA LUMPUR – Pemain perseorangan veteran negara, Muhammad Roslin Hashim memulakan cabaran di Terbuka Jepun dengan penuh bergaya apabila menumbang dua pemain China untuk layak ke pusingan ketiga kejohanan, semalam.

Pada saingan pusingan pertama di sebelah pagi, Roslin, 31, menewaskan pemain muda negara Tembok Besar itu, Qiu Yanbo 21-7, 21-12.

Manakala pada saingan pusingan kedua di sebelah petang, Roslin yang tidak diletakkan sebagai pemain bukan pilihan di kejohanan ini mengejutkan pemain pilihan kesembilan, Chen Yu 21-11, 21-9.

Turut mengikut jejak Roslin yang pernah muncul juara Terbuka Jepun lima tahun lalu itu ke pusingan ketiga acara perseorangan lelaki ialah dua lagi rakan sepasukan.

Ini termasuk adiknya, Muhammad Hafiz yang menang ke atas pemain Hong Kong, Chan Yan Kit 21-12, 21-12 selepas mendapat bye di pusingan pertama.

Lee Chong Wei yang diletakkan pemain pilihan kedua dan turut mendapat bye di pusingan pertama pula mudah menewaskan pemain Indonesia, Sony Dwi Kuncoro 21-13, 21-18.

Manakala dua pemain yang terkandas ialah Pei Wei Chung yang tewas di pusingan pertama dan Yeoh Kay Bin yang tewas di pusingan kedua.

Sementara itu, cabaran Malaysia dalam perseorangan wanita masih diteruskan Wong Mew Choo yang layak ke pusingan kedua.

Pada pusingan pertama semalam, Mew Choo menewaskan pemain Jepun, Yukina Oku 21-8, 21-19.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=1012&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4rhF7DB6d
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan