ARKIB : 24/04/2007
Oleh NORZIE MOHD. KHASBI
KUALA LUMPUR Pemain
perseorangan negara, Muhd. Roslin Hashim berharap dia tidak akan disenarai
hitamkan oleh Persatuan Badminton Malaysia (BAM) hanya kerana ketegasannya
mengheret badan badminton negara itu ke muka pengadilan.
Semalam, Roslin mengesahkan
bahawa dia sudahpun mendapatkan khidmat peguam untuk membawa kes BAM ke mahkamah
dalam masa terdekat.
Menurut Roslin, biarpun
kemarahannya sudah reda berbanding pada hari pertama mendapat tahu namanya
tercicir pada Terbuka Singapura dan Indonesia, namun dia tetap dengan pendirian
bahawa badan badminton negara itu perlu diberi pengajaran.
Begitupun Roslin percaya,
sekiranya sikap profesional mengatasi sentimen atau emosi dalam menangani kes
ini, dia tidak sepatutnya disenarai hitamkan untuk mewakili negara pada
kejohanan utama di masa akan datang.
Saya percaya sikap profesional
harus mengatasi sentimen demi kepentingan badminton negara. Maksud saya, kalau
saya betul-betul berada pada prestasi yang baik ketika itu tetapi tidak dipilih
kerana mempunyai kisah atau latar belakang yang tidak disenangi.. itu tidak
betul.
Ada juga orang yang bertanya
kepada saya, apakah saya tidak bimbang kalau saya mengambil tindakan ke atas
BAM maka peluang saya hendak mewakili negara di masa akan datang tipis ? Saya
jawab, saya tidak takut kerana saya di pihak yang benar.
Saya percaya jika BAM telus
dengan sistem pemilihan mereka dan memberi peluang kepada pemain yang
selayaknya, maka unsur pilih kasih atau berat sebelah tidak akan timbul.
Saya tidak bercakap mewakili
diri sendiri. Pada saya, mana-mana pemain sekali pun wajar diberi peluang sama
adil untuk mewakili negara kalau terbukti prestasinya lebih baik daripada
pemain lain ketika itu, tidak kira sama ada dia bermain untuk pasukan
kebangsaan atau kelab, kata Roslin.
Selain tiket Kejohanan Dunia
(13-19 Ogos) menjadi perebutan, dua kejohanan utama yang akan berlangsung tahun
ini ialah Piala Sudirman (11-17 Jun) dan Sukan SEA di Korat, 6-15 Disember.
Jadual kejohanan tahun depan
pula lebih padat dengan Piala Thomas membuka tirai di Jakarta pada diikuti
Kejohanan Dunia dan Sukan Olimpik Beijing dari 8-24 Ogos, 2008.
Meskipun mengakui peluang untuk
beraksi di Kejohanan Dunia semakin tipis setelah terlepas tiga pertandingan
Siri Super - Terbuka Malaysia, Singapura dan Indonesia, Roslin menegaskan, dia
masih cuba sedaya upaya untuk melayakkan diri.
Justeru, pemain Nusa Mahsuri
berusia 32 tahun itu mencari alternatif lain dengan menyertai tiga kejohanan
yang lebih kecil - Terbuka New Zealand, Satelit Vietnam dan Satelit Singapura
bagi memastikan ranking dunianya (18) tidak merudum.
Satu-satunya kejohanan Siri
Super yang tinggal untuk disertai oleh Roslin sebelum kelayakan Kejohanan Dunia
ditutup adalah Siri Super China di Guangzhou, 10-15 Julai.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0424&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4tXzIWzmS
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan