ARKIB : 20/04/2007
Oleh Norzie Mohd. Khasbi
KUALA LUMPUR Jaguh
perseorangan negara, Roslin Hashim tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan
undang-undang ke atas Persatuan Badminton Malaysia (BAM) selepas namanya
tercicir pada Terbuka Singapura dan Terbuka Indonesia, bulan depan.
Bagi Roslin, kesilapan terbaru
BAM ini sukar diterima kerana ia sudah berlaku kali ketiga tahun ini selepas
namanya turut hilang daripada Terbuka Malaysia, Januari lalu.
Malah Roslin tidak menolak
wujudnya unsur sabotaj oleh pihak tertentu yang tidak mahu dia memperbaiki
ranking dunia kerana khuatir akan menjejaskan peluang pemain lain yang cuba
dinaikkan BAM.
Menurut Roslin, meskipun BAM
sudah meminta maaf menerusi Pengurus Besarnya, Kenny Goh, ia masih tidak dapat
mengubah hakikat bahawa peluangnya ke Kejohanan Dunia (13 hingga 19 Ogos) dan
Sukan Olimpik (8 hingga 24 Ogos 2008) kini semakin tipis.
Kesabaran saya juga ada
hadnya. Kalau sekali berlaku mungkin saya masih boleh maafkan tetapi bila ia
berlaku tiga kali hanya dalam tempoh empat bulan, ini sudah melampau.
Tahun lalu perkara yang sama juga
berlaku tetapi saya diam. Malah, ketika berlaku pada Terbuka Malaysia saya juga
tidak bercakap banyak kerana tidak mahu kecoh, tetapi bila berlaku lagi dan
lagi, saya tidak boleh berdiam.
Badminton periuk nasi saya.
Saya berlatih dan bekerja keras untuk bertanding tetapi akhirnya tercicir
gara-gara kesilapan orang lain dan kesilapan itu pula dilakukan berulang kali,
kata Roslin.
Tahun lalu, Roslin, pernah
berdepan dengan pengalaman yang serupa apabila namanya ercicir untuk bagi
Terbuka China dari 17 hingga 22 Oktober.
Menurut Roslin, alasan BAM
bahawa mereka terlupa namanya ketika menghantar borang penyertaan Terbuka
Singapura (1-6 Mei) dan Terbuka Indonesia (7-13 Mei) sukar diterima kerana ia
dihantar bersama-sama permohonan ke Kejohanan Badminton Asia (ABC) di Johor
yang berakhir minggu lalu.
Kata Roslin, BAM mengakui
kesilapan mereka dan berjanji akan cuba memasukkan namanya pada Terbuka
Indonesia (7-13 Mei) namun peluang untuk dia beraksi di Singapura sudah
tertutup kerana undian kejohanan sudah pun dijalankan, Selasa lalu.
Ia (tidak beraksi di
Singapura) merupakan satu kerugian yang amat besar buat saya, apatah lagi ia
kejohanan pertama yang dikira untuk mata kelayakan Sukan Olimpik.
BAM kata mereka akan cuba
memasukkan nama saya pada Terbuka Indonesia dan saya harap mereka akan
mengotakan janji itu atau saya tidak teragak-agak mengambil tindakan
undang-undang, tegasnya.
Roslin masih merupakan antara
empat pemain perseorangan terbaik negara biarpun gagal mendapat tempat ke
pusingan akhir Piala Thomas di Jepun, tahun lalu.
Dia kini menduduki ranking
ke-20 dunia di depan beberapa pemain lain negara seperti Sairul Amar Ayub, Yeoh
Kay Bin, Kuan Beng Hong dan Wong Choong Hann.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0420&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4tXrmhZPH
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan