Khamis, 21 September 2017

Roslin, Hafiz tidak senasib



ARKIB : 28/02/2007

KUALA LUMPUR – Jika pada Kejohanan Badminton Seluruh England, Mohd. Roslin Hashim terpaksa menentang juara dunia, Lin Dan seawal pusingan pembukaan, pemain veteran negara itu juga bakal menghadapi kesukaran di awal saingan Terbuka Switzerland, 13-18 Mac ini.

Tidak berada dalam kedudukan lapan pemain pilihan memang menyukarkan apabila bertanding pada kejohanan Siri Super dan di Basel, Roslin terpaksa menelan hakikat itu apabila dinanti dua bintang handalan dunia, Taufik Hidayat dan Peter Gade-Christensen di pusingan kedua.

Dalam undian yang dikeluarkan Persekutuan Badminton Dunia (BWF) semalam, juara Olimpik, Taufik akan menentang juara Eropah, Christensen dalam aksi sulung dan pemenang bakal bertemu Roslin yang dijangka mampu melepasi cabaran Kendrick Lee dari Singapura di pusingan awal.

Muhammad Hafiz Hashim lebih bernasib baik kerana tidak perlu menentang Taufik seperti pada pusingan awal Seluruh England.

Dia akan bertemu pemain tuan rumah, Christian Boesiger di awal saingan dan dijangka bertemu Chetan Anand dari India pada pusingan kedua.

Seorang lagi pemain negara, Sairol Amar Ayob juga berpeluang melangkah ke separuh akhir dari undian bawah tetapi harus melepasi dulu cabaran pemain Denmark, Kenneth Jonassen di pusingan pertama, diikuti rakan senegara, Lee Tsuen Seng dalam pusingan kedua.

Sementara itu, pemain nombor satu negara, Lee Chong Wei dijangka tidak menghadapi masalah untuk mara sekurang-kurangnya ke suku akhir, meskipun di awal saingan dia perlu berdepan pemain nombor satu Singapura, Ronald Susilo.

Dalam saingan beregu lelaki, pasangan muda negara, Tan Bin Shen-Ong Soon Hock mendapat tiket ke undian utama tanpa perlu melalui pusingan kelayakan.

Pasangan yang menumpaskan juara dunia, Fu Haifeng-Cai Yun pada Terbuka Malaysia itu akan bertemu beregu Denmark, Mathias Boe-Joachim Fischer Nielsen.

Pemenang pingat emas Sukan Asia, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong pula menerima dua undian awal yang mudah tetapi jika mara ke suku akhir, beregu nombor satu dunia, Haifeng-Cai Yun dari China adalah lawan yang menanti.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0228&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_07.htm#ixzz4tKpnhOZt
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan