ARKIB : 22/04/2002
Oleh Norzie Mohd. Khasbi
BEKAS pemain nombor satu dunia,
Mohd. Roslin Hashim mungkin diketepikan jika Malaysia menentang China pada
pusingan akhir Kejohanan Badminton Piala Thomas di Guangzhou, bulan depan.
Pemain Nusa Mahsuri itu memiliki
rekod kurang baik setiap kali berdepan pemain China, malah pernah dikejutkan
oleh pemain muda negara itu, Cai Yun pada pusingan kedua Terbuka Malaysia tahun
lalu.
Sekiranya disenaraikan, Roslin
yang mengisi posisi perseorangan ketiga pada kejohanan 9-19 Mei itu berpotensi
untuk bertemu juara Terbuka Korea 2001, Lin Dan atau juara Seluruh England,
Chen Hong.
``Saya tidak anggap mereka
(pemain China) adalah `badi' buat saya, walaupun saya akui tidak mempunyai
rekod yang baik ke atas mereka,'' kata Roslin, 27.
``Ini bukan soal
mentaliti..tetapi corak permainan serta prestasi semasa mendorong kepada setiap
keputusan, saya bersedia untuk beraksi jika diberi kepercayaan.''
Kegugupan Roslin berdepan pemain
China amat ketara pada separuh akhir Seluruh England tahun lalu apabila dia
yang hanya memerlukan satu mata untuk menang selepas memegang mata perlawanan
pada set kedua, akhirnya memberi kemenangan kepada Chen Hong 10-15, 17-16,
15-12.
Roslin juga tewas dalam pertemuan
terakhirnya dengan pemain veteran, Luo Yigang pada Seluruh England Mac lalu.
Malaysia, yang diletak dalam
Kumpulan B bersama juara bertahan, Indonesia, Thailand dan Jerman berpotensi
untuk berdepan China pada separuh akhir.
China, pilihan utama dan Korea
Selatan dijangka menerajui Kumpulan A yang turut disertai juara kelayakan
Eropah, Denmark dan Sweden.
Sementara itu Roslin menegaskan,
dia berada pada tahap kecergasan terbaik untuk menghadapi Piala Thomas dan
tidak pernah menyembunyikan kecederaan.
Tegasnya, nasib malang yang
menimpanya pada dua pertandingan Piala Thomas lalu - pusingan akhir di Kuala
Lumpur 2002 dan pusingan kelayakan di Melbourne hanya satu kebetulan.
``Saya tidak cedera sebelum
kedua-dua kejohanan itu dan tidak tahu mengapa ia boleh berlaku,'' katanya yang
terpaksa diketepikan pada pertengahan saingan selepas mengalami kecederaan
bahu.
``Saya harap ia tidak berulang.
Tetapi kalau ditakdirkan saya cedera lagi, saya tidak mahu ada prasangka buruk.
Saya benar-benar bersedia sekarang, apa yang akan berlaku pada hari kejohanan
saya tidak tahu.''
Roslin mengakui, pengalaman
malang pada dua pertandingan lalu menimbulkan sedikit kebimbangan namun ia sama
sekali tidak menjejaskan tumpuannya untuk mengutip mata buat negara.
China membariskan empat
perseorangan terbaik dunia, Xia Xuanze, Bao Chunlai, Lin Dan dan Chen Hong
selain pemain berpengalaman, Luo Yigang.
Malaysia pula menurunkan Wong
Choong Hann, Ong Ewe Hock, Muhammad Hafiz Hashim, Lee Tsuen Seng dan Roslin.
sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0422&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4c8v9psWk
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan