ARKIB : 10/04/2002
ROSLIN HASHIM (kiri) dan Shalin
Zulkifli bersama trofi anugerah Olahragawan dan Olahragawati Kebangsaan 2001 di
Kuala Lumpur, semalam. - Gambar GAIE UCHEL.
SEPERTI diramal, pemain
perseorangan badminton negara, Roslin Hashim dan pemain boling wanita negara,
Shalin Zulkifli dipilih sebagai Olahragawan dan Olahragawati Kebangsaan 2001.
Pemilihan mereka diumumkan pada
majlis Anugerah Sukan Negara yang turut dihadiri Yang di-Pertuan Agong Tuanku
Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Syed Putra Jamallulail dan Raja Permaisuri Tengku
Fauziah Tengku Abdul Rashid.
Bagi Roslin, 26, ini merupakan
anugerah olahragawan pertama pernah diterimanya sejak melibatkan diri dalam
badminton sekaligus mengakhiri kemarau anugerah sukan itu selama tiga tahun.
Kejayaannya itu meneruskan
tradisi penguasaan sukan badminton selepas zaman Misbun (1983), Foo Kok Keong
(1989), Rashid Sidek (1990, 1991, 1992, 1996) dan pasangan Cheah Soon Kit/Yap
Kim Hock (1997).
Manakala bagi Shalin, 23, ini
merupakan anugerah olahragawati keempat yang diterimanya. Sebelum ini anugerah
yang sama pernah diterimanya pada tahun 1994, 1996 dan 1997.
Namun kejayaan Shalin ini masih
belum dapat mengatasi rekod perenang, Nurul Huda Abdullah yang pernah
memenanginya sebanyak lima kali berturut-turut (1985, 1986, 1987, 1988, 1989).
Sebaik diumumkan sebagai
pemenang, Roslin dan Shalin masing-masing menerima sebuah trofi dan hadiah wang
tunai RM10,000 daripada Yang Dipertuan Agong.
Turut hadir pada majlis
penyampaian anugerah itu ialah Menteri Belia dan Sukan, Datuk Hishamuddin Tun
Hussein.
Sementara itu, Muhamad Zaiful
Zainal Abidin dari sukan olahraga dan Siow Yi Ting dari sukan renang dipilih
sebagai Olahragawan dan Olahragawati Harapan 2001.
Zaiful, 21, menewaskan 14 calon
lain manakala Yi Ting, 16, menewaskan lapan calon lain untuk menerima sebuah
trofi dan hadiah wang tunai masing-masing berjumlah RM3,000.
Anugerah Pasukan Lelaki Terbaik
Kebangsaan pula dimenangi pasukan golf Sukan SEA dan Piala Putra yang dibarisi
Mohd. Shaaban Mohd. Hussin, Mohd. Sahal Saidin, S. Sivachandhran dan Airil
Rizman Zahari.
Kejayaan ini dianggap
mengejutkan memandangkan Persatuan Golf Amatur Malaysia sendiri tidak
mencalonkan mereka sebaliknya hanya dicalonkan oleh Jawatankuasa Pemilihan
Anugerah Sukan Negara ini.
Bagi anugerah Pasukan Wanita
Terbaik Kebangsaan dimenangi pasukan Karate-Do (Kumite) yang dibarisi Premila
Supramaniam, Sri Raja Rajeswari Murugayan, Ng Chai Lin dan Lee Phei Sze.
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0410&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4c4YqbxlR
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan