ARKIB : 25/05/2001
PERSEORANGAN utama negara,
Roslin Hashim menerima suntikan semangat baru dalam usahanya merangkul gelaran
ketiga berturut-turut apabila diletakkan sebagai pilihan pertama Kejohanan
Badminton Dunia di Seville, Sepanyol, 3-10 Jun ini.
Roslin, 26, mengetepikan pemain
nombor satu dunia, Peter Gade-Christensen dari Denmark dalam senarai yang
dikeluarkan oleh Persekutuan Badminton Antarabangsa (IBF), semalam.
Gade-Christensen berada dalam
pilihan kedua, diikuti pemain remaja kontroversi Indonesia, Taufik Hidayat
pilihan ketiga.
Pemain veteran, Ong Ewe Hock
yang akan mengetuai cabaran Malaysia dalam Piala Sudirman turut tersenarai
dalam kedudukan pilihan dengan berada di tangga ke-12.
Sementara itu pasangan muda,
Chan Chong Ming-Chew Choong Eng yang melangkah ke separuh akhir Terbuka Jepun,
memperoleh kedudukan lebih baik berbanding beregu nombor satu negara, Choong
Tan Fook-Lee Wan Wah.
Chong Ming-Choong Eng, yang
bertanding pada Piala Asia bulan lalu diletak sebagai pilihan keenam, sementara
Tan Fook-Wan Wah dalam senarai ketujuh.
Dua beregu Denmark, Jens
Eriksen-Jesper Larsen dan Michael Sogaard-Jim Laugesen menduduki senarai
teratas beregu lelaki, diikuti pasangan Indonesia, Flandi Limepe-Eng Hian.
Roslin, yang mengetepikan Piala
Sudirman sebagai persiapan menghadapi Kejohanan Dunia memburu gelaran ketiganya
di Seville selepas menjuarai Terbuka Switzerland dan Jepun.
Sementara Gade-Christensen
hanya merangkul satu gelaran Grand Prix setakat ini, Terbuka Korea awal Januari
dan menghadapi masalah prestasi akhir-akhir ini.
Penyandang juara, Camilla
Martin dari Denmark diletakkan sebagai pilihan pertama perseorangan wanita,
diikuti Zhou Mi dan Gong Ruina dari China.
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0525&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4bdNcYGkf
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan