ARKIB : 08/04/2001
ROSLIN HASHIM.
PEMAIN Nusa Mahsuri, mencerahkan
peluang untuk merangkul gelaran keduanya dalam tempoh sebulan apabila menjadi
peserta tunggal negara meneruskan cabaran ke pusingan akhir Kejohanan Badminton
Terbuka Jepun di Tokyo, semalam.
Roslin yang dimahkotakan sebagai
juara Terbuka Switzerland pertengahan bulan lepas mara setelah menumpaskan Shon
Seung-Mo dari Korea Selatan 15-11, 15-11.
``Saya gembira kerana inilah kali
pertama saya mara ke pusingan akhir Terbuka Jepun. Saya berharap dapat
meneruskan prestasi ini esok,'' kata Roslin di Tokyo, semalam.
Mengenai perlawanan separuh akhir
itu, Roslin berkata, ia merupakan pertemuan pertamanya dengan Seung-Mo.
``Saya memang tidak tahu apa yang
boleh dijangkakan daripada pemain ini tetapi apa yang penting adalah
mengekalkan corak permainan sendiri.
``Saya menukar corak permainan
sedikit ketika ketinggalan 5-8 di set kedua dengan melambatkan rentak permainan
sebab jika saya bermain pantas, mungkin saya tewas, dan bila berpeluang, saya
menyerang,'' ujarnya yang kini berada di ranking ketiga dunia.
Laluan Roslin untuk merangkul
kejuaraan dilihat lebih mudah berikutan kekalahan pemain pilihan pertama, Peter
Gade Christensen dari Denmark di suku akhir kelmarin.
Gade Christensen yang memburu gelaran
ketiganya di Terbuka Jepun telah menang pada 1998 dan 1999 tewas mengejut
kepada Chen Hong dari China.
Kecemerlangan pemain kelahiran
Kelantan itu bagaimanapun tidak berjaya diteruskan oleh beregu muda negara,
gandingan Chew Choong Eng/Chan Chong Ming yang turut beraksi di separuh akhir
semalam.
Choon Eng/Chong Ming tewas kepada
beregu berpengalaman Indonesia, Candra Wijaya/Sigit Budiarto yang menang 15-8,
15-11.
Roslin, 25, yang mengambil masa
lebih dua tahun untuk bangkit semula menjuarai Terbuka Belanda pada Oktober
1998 akan berdepan dengan seorang lagi pemain Korea Selatan, Lee Hyun-Il yang
diletakkan sebagai pilihan kesembilan pertandingan.
Hyun-Il mengesahkan tempat ke
akhir setelah mengejutkan pilihan kelima, Chen Hong dari China 15-12, 15-11.
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0408&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4ba8UoI4Q
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan