Sabtu, 18 Mac 2017

Roslin selesa berlatih bersama pemain BAM

ARKIB : 28/08/2001
TAHUN lalu ketika pemain Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan Nusa Mahsuri mengadakan latihan bersama bagi menghadapi Kejohanan Badminton Piala Thomas-Uber terdapat satu `jurang' yang memisahkan mereka.

Namun kini, ketika pemain kelab itu, Roslin Hashim datang untuk menyertai latihan pusat Sukan SEA XXI di Stadium Malawati, Shah Alam, semalam, perasaan terpisah dan terpinggir sudah tidak lagi dialami.

Malah, ayam tambatan Nusa Mahsuri itu tidak lagi kekok menyertai latihan yang dikendalikan oleh penasihat badminton negara, Indra Gunawan yang memahami keinginannya.

Sememangnya, sudah beberapa kali Roslin dan adiknya, Mohd. Hafiz Hashim dijemput untuk menyertai latihan bersama tetapi kemesraan dan perasaan hormat menghormati antara pemain dan jurulatih merupakan sesuatu yang baru dirasai.

Malah juara Terbuka Switzerland dan Terbuka Jepun itu juga tidak lagi merasa janggal turun ke gelanggang BAM tanpa jurulatihnya, Misbun Sidek yang sebelum ini sentiasa berada di sisi.

``Saya memang selesa dan tidak lagi kekok menyertai latihan bersama sekarang ini. Tidak seperti dulu di mana BAM sentiasa memaksa saya mengikuti program latihannya setiap kali menjalani latihan seperti ini.

``Saya suka dengan cara latihan kendalian Indra kerana dia begitu memahami apa yang saya inginkan.

``Malah dia akan bertanya dulu tentang latihan yang ingin saya jalankan sebelum mengemukakan program latihannya yang tidak semestinya saya ikuti,'' kata Roslin yang bersendirian tanpa Misbun ketika latihan di hari pertama di Stadium Malawati itu.

Sementara itu, Roslin sudah bersedia untuk memikul sandaran meraih sebutir pingat emas pada Sukan SEA XXI pada 8-17 September ini.

``Berdasarkan prestasi sekarang sememangnya acara perseorangan lelaki diharapkan untuk meraih pingat emas dan saya serta Ong Ewe Hock pastikan akan berusaha untuk merealisasikan sasaran ini,'' katanya yang menghadapi laluan mudah sehingga ke separuh akhir sebelum bertemu juara Terbuka Indonesia, Marleve Mainaky bagi penentuan tempat ke akhir.

Pemain kelahiran Kelantan itu akan berdepan dengan Hoo Hee Teck dari Singapura di pusingan pertama sebelum menghadapi Huzaini Saleh dari Brunei atau Nguyen Hoang Long dari Vietnam di suku akhir.

Laluan Ewe Hock bagaimanapun tidak begitu mudah kerana berdepan dengan pemain pengacau, Boonsak Polsana dari Thailand sebelum ke suku akhir dan bertemu juara dunia, Hendrawan di separuh akhir.

Roslin bagaimanapun tidak menafikan kemungkinan dia akan membuat perhitungan pingat emas dengan Ewe Hock berdasarkan prestasi semasa juara Terbuka Malaysia itu
SMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0828&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4bjracbCF

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan