Ahad, 16 April 2017

Roslin terkandas

ARKIB : 02/04/2004
PEMAIN nombor dua negara, Mohd. Roslin Hashim menerima tamparan hebat dalam usahanya melayakkan diri ke Sukan Olimpik apabila kalah mengejut kepada Bjoern Joppien dari Jerman pada pusingan ketiga badminton Terbuka Korea di Stadium Tertutup Choongju, semalam.
Namun begitu pemain muda negara Lee Chong Wei mencerahkan peluangnya untuk membuat penampilan di Athens, Ogos ini apabila melangkah ke suku akhir dengan mengejutkan pemain nombor enam dunia, Kenneth Jonassen dari Denmark.
Turut meneruskan cabaran ke suku akhir kejohanan lima bintang itu adalah pemain nombor satu negara dan naib juara dunia, Wong Choong Hann yang mengetepikan pemain Hong Kong kelahiran Indonesia, Agus Hariyanto 15-9, 15-13.
Dalam perlawanan semalam, Roslin, pemain ranking ke-14 dunia diheret beraksi dalam pertarungan 84 minit sebelum tunduk rubber-set 13-15, 15-7, 11-15 kepada Joppien, ranking ke-23 dunia.
Dengan kekalahan itu, Roslin kini hanya memiliki dua lagi peluang bagi melayakkan diri ke temasya Olimpik - Terbuka Jepun minggu depan dan Kejohanan Asia di Kuala Lumpur, 20-26 April ini.
Sementara itu juara kebangsaan, Chong Wei hanya mengambil masa 43 minit untuk mencatat kemenangan mudah 15-4, 15-3 ke atas Jonassen dan menempah pertemuan dengan pemain tuan rumah, Park Tae-sang.
Tae-sang, 25, naib juara Terbuka Korea tahun lalu mara selepas mengejutkan rakan senegara serta pemain nombor tiga dunia, Lee Hyun Il, 15-11, 15-7.
Kemenangan ke atas Agus pula akan menemukan pilihan keempat, Choong Hann dengan bekas pemain nombor satu dunia, Peter Gade-Christensen dari Denmark di suku akhir, hari ini.
Walaupun Choong Han menang dalam dua pertemuan terakhir dengan Gade-Christensen pada Terbuka China dan Taiwan tahun lalu, namun pemain Denmark itu mempamerkan peningkatan akhir-akhir ini, termasuk muncul naib juara Seluruh England, Februari lalu.
Semalam, pemain nombor sembilan dunia itu mengalahkan perseorangan kedua Korea, Shon Seung-mo 15-4, 11-15, 15-11.
Dalam laluannya ke perlawanan akhir Seluruh England Februari lalu, Gade-Christensen mengalahkan nama-nama besar termasuk Chen Hong, Taufik Hidayat dan Roslin, sebelum tewas kepada pemain nombor satu dunia, Lin Dan.
Sementara itu cabaran perseorangan wanita negara berakhir dengan Wong Mew Choo kalah 4-11, 3-11 kepada Pi Hongyan dari Belanda, manakala Wong Sze Mei tewas 5-11, 2-11 kepada pemain China, Zhang Ning.
KEPUTUSAN:
(pusingan ketiga, pemain Malaysia)
Perseorangan lelaki: WONG CHOONG HANN kln Agus Hariyanto (Hkg) 15-9, 15-13; Bjoern Joppien (Ger) kln MOHD. ROSLIN HASHIM 15-13, 7-15, 15-11; LEE CHONG WEI kln Kenneth Jonassen (Den) 15-4, 15-3
Perseorangan wanita: Zhang Ning (Chn) kln WONG SZE MEI 11-5, 11-2; Pi Hongyan (Net) kln WONG MEW CHOO 11-4, 11-3.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan