ARKIB : 28/06/2003
SEMANGAT membara untuk menamatkan
kemarau kejuaraan bakal menjadikan Roslin Hashim sebagai pemain negara yang
paling merbahaya pada Kejohanan Badminton Dunia di Birmingham, England, 28
Julai hingga 3 Ogos ini, lapor SRY ANGRENI MOHD ZET.
Ketua jurulatih perseorangan
negara, Misbun Sidek menganggap Roslin, 27, seperti seekor `singa lapar' yang
menanti masa untuk mendapatkan mangsanya.
``Jika dilihat keadaan sekarang,
Roslin lebih merbahaya berbanding Hafiz walaupun adiknya itu telah menjuarai
Seluruh England.
``Keadaan Roslin sekarang ini
tidak sama seperti ketika dia beraksi pada Kejohanan Dunia di Seville
(Sepanyol) dua tahun lalu.
``Dia kini bukan pemain yang
menjadi perhatian lawan seperti dua tahun lalu. Ketika di Seville dulu, namanya
memang digeruni kerana selain daripada menjuarai Terbuka Switzerland dan
Terbuka Jepun dia juga menduduki ranking nombor satu dunia.
``Tetapi permainannya ketika itu
sebenarnya belum cukup mantap. Tetapi kini agak berbeza kerana dia dianggap
sebagai underdog tetapi mempunyai kekuatan yang bakal menjadikannya pemain
merbahaya,'' katanya yang ditemui selepas latihan di Stadium Juara, Bukit
Kiara, semalam.
Menurut Misbun, Roslin yang kini
memasuki tahun ketujuh dibawah tunjuk ajarnya menyedari kekurangan yang
dialaminya sebelum ini dan sekarang mengikuti program latihan yang disediakan
untuknya.
``Dia kini sudah berada di tahap
seperti ketika di mara ke separuh akhir Seluruh England Februari
lepas,''katanya.
Roslin merupakan pemain terakhir
tersenarai ke kejohanan enam bintang yang telah ditunda dari tarikh asal 12-18
Mei lepas kerana wabak Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS).
Misbun, 43, berkata, senjata
utama Roslin kini adalah semangat dan keinginan untuk berjaya setelah jatuh dan
bangun semula di persada badminton antarabangsa.
Mengenai Hafiz pula, Misbun
berkata, dia kini merupakan pemain yang menjadi tumpuan setelah menjuarai
Seluruh England dan keadaan itu tidak memberi sebarang kelebihan untuknya.
``Dia mempunyai nama tetapi
keadaan ini memberi risiko kerana ia melahirkan rasa takut dan mahu ketika
hendak membuat sesuatu. Ini menjadikannya teragak-agak untuk melakukan tindakan
tertentu dan sekiranya ia berlaku dalam permainan, ia pasti mengugat peluang
Hafiz,'' katanya.
Penyenaraian Roslin menyaksikan
Malaysia kini mempunyai empat pemain perseorangan lelaki yang membawa cabaran
di kejohanan dunia iaitu Hafiz, Roslin, Wong Choong Hann dan Lee Tsuen Seng
sumberArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0628&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4czhsUEfg
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan