Ahad, 2 April 2017

Hafiz tentang Roslin



ARKIB : 19/07/2003

Oleh Norzie Mohd. Khasbi

JUARA Seluruh England, Muhammad Hafiz Hashim sekadar bernasib baik di pusingan awal apabila terlepas daripada undian sukar, namun malang menanti pada pusingan kedua kerana dijangka menentang abangnya, Mohd. Roslin Hashim pada Kejohanan Badminton Dunia di Birmingham, hujung bulan ini.

Undian sukar turut diterima Lee Tsuen Seng apabila terpaksa memulakan cabaran dengan bertemu pemain nombor dua dunia dan juara Terbuka Korea, Kenneth Jonassen dari Denmark.

Sementara pasangan senior negara, Choong Tan Fook-Lee Wan Wah menerima laluan lebih perit, berdepan juara Seluruh England, Candra Wijaya-Sigit Budiarto dari Indonesia pada pusingan pertama.

Hafiz, 21, yang membuat penampilan sulung pada Kejohanan Dunia akan memulakan saingan dengan bertemu Stanislav Pukhov dari Rusia. Roslin pula akan bertemu pemain utama Thailand dan pilihan ke-12, Boonsak Polsana.

Pemain nombor satu negara, Wong Choong Hann, satu-satunya pemain Malaysia yang memperoleh status pilihan pada kejohanan 28 Julai hingga 3 Ogos itu menerima laluan agak mudah, bertemu Keita Masuda dari Jepun pada pusingan pertama.

Juara Terbuka China, Choong Hann, pilihan kesembilan kejohanan dijangka menghadapi pilihan keempat, Anders Boesen dari Denmark pada pusingan kedua.

Beregu utama negara, Chan Chong Ming-Chew Choon Eng pula memulakan persaingan dengan bertemu pilihan ke-10 dari Denmark, Nathan Robertson-Anthony Clark.

Sementara itu harapan tunggal negara dalam perseorangan wanita, Wong Mew Choo berpeluang cerah untuk melepasi pusingan pertama apabila memulakan saingan bertemu pemain tidak ternama dari Jerman, Nina Weckstorm.

Pencapaian terbaik Malaysia dalam perseorangan lelaki adalah menerusi Rashid Sidek yang mara ke suku akhir pada 1987 dan 1995, manakala Razif Sidek-Jalani Sidek, Cheah Soon Kit-Soo Beng Kiang dan Soon Kit-Yap Kim pula merupakan pasangan terbaik negara dengan muncul naib juara.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0719&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4d6Cbkws3
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan