Sabtu, 8 April 2017

Sukan SEA di Vietnam - Misi Roslin pertahan emas



ARKIB : 27/10/2003

Oleh SRY ANGRENI MOHD. ZET
 SETELAH menamatkan penantian 28 tahun untuk memenangi pingat emas acara perseorangan lelaki Sukan SEA di Kuala Lumpur dua tahun lalu, kini Roslin Hashim mahu mempertahankan gelaran itu pada temasya yang sama di Vietnam Disember ini.

Pemain Nusa Mahsuri itu mengakui dia mempunyai dua alasan untuk mempertahankan kejuaraan itu - pertama kerana dia belum memenangi sebarang gelaran tahun ini dan kedua, untuk menjadikan dirinya antara pemain yang disegani di rantau ini.

``Saya yakin dapat mempertahankan pingat emas pada Sukan SEA kali ini. Kemenangan amat penting kerana saya masih belum memenangi sebarang kejohanan tahun ini.

``Lagipun sekiranya saya dapat mempertahankan kejuaraan pada Sukan SEA ia akan menjadikan saya pemain yang lebih disegani dan digeruni,'' katanya yang dihubungi di Kuala Lumpur, semalam.

Pada temasya ke XXI itu Roslin menewaskan Boonsak Polsana dari Thailand 17-14, 15-3 untuk merangkul kejuaraan

Pemain kelahiran Kelantan yang mendapat didikan daripada Misbun Sidek itu bagaimanapun mengakui misi mempertahankan kejuaraan lebih sukar daripada ketika dia memenanginya dulu.

``Saya perlu melipatgandakan usaha untuk mempertahankan kejuaraan. Ia tidak sama seperti ketika memenanginya dua tahun lepas.

``Tambahan pula prestasi dan pencapaian pemain-pemain lawan dari Singapura dan Indonesia seperti Ronald Susilo dan Sony Dwi Kuncoro juga telah jauh meningkat. Kemampuan Taufik Hidayat (Indonesia) juga harus diambil kira walaupun tidak konsisten,'' katanya.

Selain daripada peningkatan prestasi pemain lawan, pencapaian Roslin yang agak mengecewakan tahun ini juga menjadi persoalan banyak pihak mengenai kemampuannya untuk cemerlang di Sukan SEA kali ini.

Tanpa sebarang gelaran setakat ini, Roslin hanya mampu mara ke separuh akhir di dua kejohanan itu Seluruh England dan Terbuka Denmark baru baru ini.

Malah dia hanya mara ke suku akhir pada kejohanan dunia di Birmingham Ogos lepas.

Pencapaian itu jauh berbeza dengan yang dilaluinya dua tahun lalu. Ketika itu Roslin turun berbekalkan gelaran selaku juara Terbuka Switzerland dan Terbuka Jepun.

Malaysia meraih dua pingat emas menerusi acara perseorangan dan berpasukan lelaki, satu perak menerusi beregu wanita gandingan Lim Pek Siah-Ang Li Peng dan dua gangsa dari beregu lelaki, Chan Chong Ming-Chew Choon Eng dan Wong Choong Hann-Lee Wan Wah.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=1027&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4de6NMsbd
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan