ARKIB : 24/06/2003
Oleh SRY ANGRENI MOHD. ZET
BEKAS juara Terbuka Jepun,
Muhammad Roslin Hashim menjadi pemain terbaru negara disenaraikan ke Kejohanan
Badminton Dunia yang akan berlangsung di Birmingham, England 28 Julai hingga 3
Ogos ini.
Roslin yang masih tercari-cari
sentuhan untuk mengakhiri kemarau kejuaraan sejak muncul juara Terbuka
Switzerland dan Terbuka Jepun dua tahun lalu dipilih mengikut kuota kelayakan
fasa empat Persekutuan Badminton Antarabangsa (IBF).
Pengurus Besar Persatuan
Badminton Malaysia (BAM), Gangga Rao berkata, pemilihan berdasarkan fasa itu
dibuat oleh IBF bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh pemain yang
telah layak tetapi tidak mahu menyertai kejohanan itu atas alasan tertentu.
``Dia dipilih berdasarkan
kelayakan fasa empat. Kami telah menyenaraikan nama Roslin Jumaat lepas iaitu
tarikh akhir menghantar pencalonan dan tadi (semalam) kami telah menerima
pengesahan bahawa dia terpilih.
``Ini merupakan satu peluang
terbaik buat Roslin yang telah menunjukkan peningkatan dan membuktikannya pada
kejohanan Cabaran Elit lepas,'' katanya di Kuala Lumpur, semalam.
Pada kejohanan dalaman BAM itu,
Roslin muncul naib juara perseorangan lelaki setelah tewas kepada adiknya Hafiz
pada perlawanan akhir.
Berikutan pemilihan itu Malaysia
sekarang akan menghantar 11 pemain lelaki dan wanita bagi beraksi dalam lima
acara yang dipertandingkan pada kejohanan enam bintang itu.
Pemilihan Roslin juga menyaksikan
Malaysia mempunyai empat pemain dalam acara perseorangan lelaki termasuk Wong
Choong Hann, Lee Tsuen Seng dan juara Seluruh England, Muhammad Hafiz Hashim.
Walaupun begitu mereka dijangka
menghadapi laluan sukar dan mungkin bertemu satu sama lain di peringkat awal
kerana tidak tersenarai sebagai pemain pilihan.
Berdasarkan kedudukan ranking,
hanya Choong Hann dijangka diletakkan dalam senarai pemain pilihan di kejohanan
tersebut.
Cabaran bagi acara beregu lelaki
pula dipikul oleh pasangan utama, Chan Chong Ming-Chew Choong Eng serta Lee Wan
Wah-Choong Tan Fook.
Juara Grand Prix, Wong Mew Choo
dan pasangan Chin Eei Hui-Wong Pei Tty menjadi wakil tunggal perseorangan dan
beregu wanita.
Manakala, Choon Eng akan
berganding dengan Eei Hui untuk bertanding dalam beregu campuran.
sumberArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0624&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4czddmv6w
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan