Jumaat, 24 Mac 2017

Roslin tiada dalam senarai ke Sukan Asia



ARKIB : 14/08/2002
Oleh SRY ANGRENI MOHD ZET
PEMAIN Nusa Mahsuri, Roslin Hashim sekali lagi tersingkir daripada senarai skuad badminton negara ke Sukan Asia, temasya besar kedua tahun ini selepas Sukan Komanwel.

Roslin, 27, yang pernah menjadi pemain nombor satu dunia selama kira-kira seminggu tahun lalu setelah menjuarai Terbuka Switzerland dan Terbuka Jepun 2001 gagal memikat pengurusan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk memilihnya beraksi pada Sukan Asia.

Malah penasihat badminton negara, Indra Gunawan terkejut dengan keputusan BAM memilih James Chua dan mengenepikan Roslin yang lebih berpengalaman.

Indra bagaimanapun mengakui tidak memihak kepada mana-mana pemain dalam pemilihan tempat keempat di temasya itu sebaliknya telah memberi senarai kelebihan dan kelemahan kedua-dua pemain sekiranya pemilihan terpaksa dibuat.

``Kedua-dua pemain mempunyai kelebihan dan kelemahan sendiri untuk dipilih. Roslin misalnya, kurang menyerlah sepanjang tahun ini tetapi dia merupakan antara pemain yang mempunyai pengalaman terutama beraksi di kejohanan besar seperti Sukan Asia.

``James pula telah mula membuktikan kemampuannya dan berjaya menjuarai Terbuka Malaysia. Tetapi dia masih kurang pengalaman dan belum melakukan sebarang kejutan dengan menewaskan pemain utama dunia di peringkat antarabangsa,'' ujarnya yang dihubungi di Kuala Lumpur semalam.

Indra mengakui beliau lebih selesa sekiranya lima pemain perseorangan tersenarai. Beliau bagaimanapun menerima keputusan BAM dan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) itu.

Jawatankuasa Pemilihan MOM yang bermesyuarat selama dua hari sejak kelmarin menyenaraikan lapan pemain lelaki dan tujuh pemain wanita untuk membawa cabaran negara dalam acara badminton di temasya empat tahun sekali itu.

Dan daripada jumlah itu tujuh daripada lapan pemain lelaki merupakan merupakan pemain yang beraksi dan memenangi pingat pada Sukan Komanwel baru-baru ini kecuali James.

Berikutan itu, Indra mahu James membuktikan kemampuannya pada Terbuka Singapura dan Terbuka Indonesia bulan ini.

``James harus bersedia dari segi mental dan fizikal untuk diturunkan pada Sukan Asia nanti. James juga harus membuktikan bahawa pemilihannya tidak sia-sia dengan beraksi cemerlang pada Terbuka Singapura dan Terbuka Indonesia bulan ini,'' katanya.

Selain daripada itu, Indra juga mahu James bersedia menghadapi sebarang kritikan sekiranya gagal membuktikan kemampuannya seperti yang diharapkan oleh semua pihak.

SENARAI PEMAIN

Perseorangan lelaki: Muhd Hafiz Hashim, Lee Tsuen Seng, Wong Choong Hann, James Chua

Beregu lelaki: Chan Chong Ming, Chew Choon Eng, Choong Tan Fook, Chang Kim Wai.

Perseorangan wanita: Ng Mee Fen, Wong Mei Choo, Wong Miew Kheng.

Beregu wanita: Ang Li Peng, Lim Pek Siah, Wong Pei Tty, Chiin Eei Hui.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0814&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4cFmV4sAv
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan