ARKIB : 26/05/2001
Oleh SRY ANGRENIMOHD. ZET
PEMAIN Nusa Mahsuri, Roslin
Hashim yang diletakkan sebagai pilihan pertama serta dua beregu utama negara
memperoleh laluan mudah sekurang-kurangnya hingga ke pusingan ketiga pada
Kejohanan Badminton Dunia di Seville, Sepanyol, 3-10 Jun ini.
Berdasarkan undian yang
dikeluarkan oleh Persekutuan Badminton Antarabangsa (IBF) semalam, Roslin yang
buat julung kali menjadi pemain nombor satu dunia itu dijangka menghadapi ujian
pertama pada pertemuan menentang Hendrawan dari Indonesia yang diletakkan
sebagai pilihan 9/16 bagi perebutan tempat ke suku akhir.
Gandingan Chew Choon Eng dan
Chan Chong Ming juga dijangka tidak menghadapi masalah di tiga pusingan awal
dengan pertemuan pertama menentang Aman Santosa-Lau Kim Pong dari Singapura.
Pasangan berpengalaman, Choong
Tan Fook-Lee Wan Wah yang diletakkan sebagai pilihan ketujuh kejohanan itu juga
hanya dijangka menghadapi ujian pertama apabila bertemu gandingan Michael
Lapm-Jonas Rasmussen dari Denmark di pusingan ketiga.
Cabaran besar bagaimanapun dijangka
menanti sekiranya mereka mara ke suku akhir dan dijangka bertemu pilihan 3/4
pertandingan, Flandi Limpele-Eng Hian dari Indonesia untuk perebutan tempat ke
separuh akhir.
Nasib bagaimanapun tidak begitu
memihak kepada pemain perseorangan negara lain dengan bekas pemain nombor satu
negara, Wong Choong Hann dijangka bertemu pilihan 9/16 Richard Vaughan dari
Wales atau Chen Yu dari China di pusingan kedua.
Pemenang pingat emas Sukan
Komanwel XVI itu dijangka tidak menghadapi masalah bertemu pemain tuan rumah
Arturo Ruiz di pusingan pertama.
Ong Ewe Hock yang dilihat
sebagai sandaran terbaik Persatuan Badminton Malaysia (BAM) pula dijangka
bertemu Park Tae Sang dari Korea Selatan di pusingan kedua dan sekiranya mara,
pemain pilihan 3/4 kejohanan, Chen Hong dari China menanti di pusingan ketiga.
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0526&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4bdkXU6sN
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan