Ahad, 19 Mac 2017

Roslin yakin dapat sumbang mata kepada negara

ARKIB : 22/12/2001
PEMAIN Nusa Mahsuri, Mohd Roslin Hashim yakin dapat menyumbang satu mata pada setiap perlawanan yang akan disertainya pada pusingan kelayakan Kejohanan Badminton Piala Thomas-Uber di Melbourne, Februari depan.

Pemain nombor empat dunia itu turut mengakui Malaysia yang diletakkan dalam kumpulan A lebih selesa berbanding kumpulan B yang bakal menyaksikan persaingan lebih sengit.

``Saya rasa peluang kita lebih cerah dalam kumpulan A dan sekiranya diturunkan saya berharap untuk menyumbang satu mata pada setiap perlawanan ini,'' katanya yang ditemui selepas latihan di Kompleks Sukan MPPJ, semalam.

Roslin berkata demikian ketika diminta mengulas kemampuannya untuk menjadi antara penyumbang mata utama pada pusingan kelayakan itu.

Skuad Piala Thomas negara diundi berada dalam kumpulan A bersama-sama Hong Kong, Jepun, Singapura dan Australia sementara kumpulan B terdiri daripada Thailand, Taiwan, Korea, Macau dan Pakistan.

Bagi pemain negara, antara pasukan yang perlu diawasi semasa perlawanan peringkat kumpulan hanyalah Hong Kong yang mungkin menggunakan pemain muda China dan Singapura yang mempunyai pemain import Indonesia seperti Ronald Susilo dan Indra Wijaya.

Skuad Piala Uber negara pula diundi dalam kumpulan B bersama-sama Hong Kong, Taiwan, Jepun dan Singapura sementara kumpulan A terdiri daripada Indonesia, Korea, Thailand, Australia dan Pakistan.

Selain Roslin, pemain Persatuan Badminton Malaysia (BAM) seperti Wong Choong Hann, Lee Tsuen Seng, Sairul Amar Ayob serta gandingan Chan Chong Ming-Chew Choong Eng merupakan antara yang hampir pasti diturunkan.

Mengenai penggunaan sistem tujuh mata, Roslin berkata, latihan yang dibuat kini lebih tertumpu kepada sistem itu yang mengkehendaki pemain bermain pantas.

``Saya memang lebih selesa dengan sistem 15 mata tetapi memandangkan kejohanan ini akan menggunakan sistem tujuh mata, saya menumpukan kepada penggunaan sistem ini,'' katanya.

Roslin pernah muncul juara pertandingan yang menggunakan sistem baru itu apabila memenangi Kejohanan Terbuka Switzerland awal tahun ini.
Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=1222&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4bq3PllMs

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan