Ahad, 19 Mac 2017

Roslin pilihan keempat

ARKIB : 11/10/2001
PEMAIN nombor satu Malaysia Roslin Hashim akan bertarung sebagai pemain pilihan keempat pada Terbuka Denmark di Copenhagen minggu depan.

Empat lagi pemain negara turut disenaraikan sebagai pemain pilihan dalam kejohanan enam bintang yang menawarkan hadiah AS$250,000 itu (RM950,000).

Roslin yang memenangi dua kejohanan Grand Prix iaitu Terbuka Switzerland dan Jepun serta pingat emas Sukan SEA acara perseorangan lelaki bagaimanapun bakal menghadapi laluan sukar ke separuh akhir.

Dia akan memulakan kempen menentang pemain Jerman, Bjoern Joppien dan pemain Denmark, Kasper Fangel bakal menunggu di pusingan kedua.

Pemain muda China Chen Yu mungkin menunggu pada pusingan ketiga sekali gus memberi peluang kepada Roslin membalas dendam kekalahan pada Terbuka Malaysia Julai lalu.

Jika berjaya melepasi Chen Yu, pemain pilihan kelapan iaitu Indra Wijaya dari Singapura atau pilihan ke-12, Anders Boesen dari Denmark bakal menanti di peringkat suku akhir.

Juara bertahan dan pilihan kedua kejohanan Peter Gade bakal menjadi penghalang ke peringkat akhir.

Pemain nombor dua dunia Chen Hong adalah pilihan pertama manakala juara Terbuka Indonesia Marleve Mainaky dari Indonesia pilihan ketiga.

Wong Choong Hann sebagai pemain pilihan kelima juga perlu menjadikan kejohanan ini sebagai penamat rentetan gelaran naib juara yang disandangnya sejak 1998.

Pemain veteran Ong Ewe Hock yang menjadi pilihan pertama kejohanan Terbuka Belanda minggu ini, disenaraikan sebagai pilihan keenam manakala Lee Tsuen Seng pilihan kesembilan dan Sairul Amar Ayob ke-13.

Dalam acara beregu lelaki, pasangan Chan Chong Ming dan Chew Choon Eng yang terkandas pada peringkat separuh akhir Kejohanan Dunia di Seville June lalu menjadi pilihan ketiga di belakang dua beregu tuan rumah Ñ Michael Sogaard-Jim Laugesen dan Martin Lundgaard Hansen-Lars Paaske. - Bernama



SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=1011&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_08.htm#ixzz4blPUeemg

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan