ARKIB : 25/09/2001
Oleh SRY ANGRENI MOHD ZET
PEMAIN Nusa Mahsuri, Roslin
Hashim dan adiknya, Mohd. Hafiz Hashim gagal menepati janji mereka untuk
menghadiri latihan bersama Persatuan Badminton Malaysia (BAM) yang bermula
semalam.
Setiausaha Kehormat BAM,
Zolkples Embong mengesahkan ketiadaan kedua-dua pemain itu dan jurulatih
mereka, Misbun Sidek yang sepatutnya kembali berlatih selepas diberi rehat
seminggu sebaik tamatnya Sukan SEA XXI.
Zolkples mengakui kecewa dengan
sikap yang diambil oleh ahli Kelab Nusa Mahsuri itu yang sebelum ini bersetuju
untuk menyertai BAM sebagai pemain dan jurulatih.
``Saya pun tak tahu apa nak
buat lagi. Saya cuba menghubungi mereka, menghubungi Jalani (Sidek), Misbun,
Roslin malah Rostam yang selaku menjadi jurucakap bagi pihak kelab ini, tetapi
semua tak berjawab.
``Saya juga telah meninggalkan
pesanan, tetapi tidak ada seorangpun yang menghubungi saya semula bagi
menjelaskan apa yang berlaku,'' katanya.
Beliau berkata demikian ketika
ditanya mengenai ketiadaan Roslin dan Hafiz semasa sesi latihan pertama,
semalam.
Menurut Zoklples, beliau telah
meminta Pengurus Pentadbiran dan Kewangan, Gangga Rao untuk menanti kedatangan
mereka pada hari pertama tersebut.
``Saya juga telah memberitahu
Gangga untuk mendapatkan bantuan Misbun bagi mengendalikan pemain perseorangan
negara kerana Indra (Gunawan) masih bercuti,'' katanya.
Menurut Zolkples, beliau
mendapat tahu bahawa pihak Nusa Mahsuri mahu mendapatkan surat bertulis
mengenai penyertaan mereka ke dalam badan induk itu.
``Saya akan membincangkan
perkara ini dengan Presiden (Datuk Mohd. Nadzmi Salleh) pada pertemuan esok.
Kita akan mengambil tindakan berdasarkan keputusan yang dibuat,'' katanya.
Menurut Zolkples, kesibukan
sepanjang Sukan SEA menyebabkan mereka tidak sempat untuk duduk berbincang
secara terperinci dengan Nusa Mahsuri mengenai penyerahan mereka ke BAM.
Sebelum bermulanya Sukan SEA
XXI, Nadzmi pernah mengumumkan mengenai persetujuan Nusa Mahsuri untuk
menyerahkan dua pemainnya, Roslin dan Hafiz serta Misbun ke dalam badan induk
itu pada satu majlis penyerahan lukisan skuad Piala Thomas 1992 negara di
Muzium negara.
Ketika itu kedua-dua pihak
kelihatan begitu gembira dengan penyerahan tersebut dalam usaha memajukan mutu
sukan negara.
Selain daripada soal Roslin,
Hafiz dan Misbun, pertemuan beberapa ahli exco BAM dengan Nadzmi hari ini juga
dijangka membincangkan soal kontrak ketua jurulatih mereka, Park Joo-bong yang
akan tamat akhir tahun ini.
Majlis BAM pada mesyuarat
mereka sebelum Sukan SEA lepas telah bersetuju untuk melanjutkan kontrak
jurulatih dari Korea Selatan itu bagi tempoh tiga bulan sehingga akhir tahun
ini.
Namun kemampuan bekas jurulatih
England itu menjadi persoalan berikutan kegagalan pemain beregu negara untuk
menyerlah di peringkat antarabangsa walaupun beliau telah mengambil tugas itu
sejak Oktober 1999.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0925&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4bkh6M6Dw
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan