ARKIB : 09/08/2001
Daripada NORZIE MOHD. KHASBI
BANDAR SERI BEGAWAN - Dua
perseorangan negara, Roslin Hashim dan Ong Ewe Hock memulakan saingan dengan
cemerlang apabila mencatat kemenangan dalam perlawanan pertama pusingan akhir
Kejohanan Badminton Grand Prix Dunia 2000 di Stadium Tertutup Hassanal Bolkiah,
di sini semalam.
Kecemerlangan dua perseorangan
negara itu bagaimanapun gagal diteruskan Wong Choong Hann yang terpaksa akur
6-8, 8-6, 6-8, 8-7, 6-8 kepada pemain nombor sembilan dunia, Xia Xuanze dari
China dalam pertarungan yang mengambil masa satu jam, lapan minit.
Roslin yang turun sebagai
pilihan ketiga kejohanan hanya memerlukan 36 minit untuk menundukkan pemain
China, Luo Yigang 7-1, 7-3, 8-6, sementara Ewe Hock menang 2-7, 7-2, 7-3, 7-0
ke atas Kenneth Jonassen dari Denmark.
Choong Hann, yang berharap
untuk mencatat kemenangan pertama ke atas Xuanze selepas tewas dalam kesemua
empat pertemuan terdahulu, mensia-siakan kelebihan memegang tiga mata
perlawanan dalam set penentuan.
Bayangan kemenangan sudah
kelihatan apabila pemain negara itu mendahului 4-0 dalam set berkenaan, tetapi
kesilapan menghantar bola jauh membenarkan Xuanze merapatkan mata 4-1, sebelum
pemain China itu mengutip tiga mata berturut-turut untuk kedudukan 6-4.
Choong Hann sepatutnya sudah
boleh menamatkan permainan dengan kemenangan selepas memperoleh tiga servis
ketika memegang mata perlawanan 6-4, bagaimanapun sikap terlalu berhati-hati
membenarkan lawan merampas servis sebelum meraih empat mata berturut-turut.
``Ia satu kesilapan apabila
saya memilih untuk bermain bola tinggi dan bukan melakukan smash ketika
mendahului 6-4.
Bukan saya tidak mahu mematikan
permainan dengan segera, tetapi saya tidak yakin berada dalam keadaan yang
tepat untuk berbuat demikian,'' katanya lagi.
Walaupun kalah, juara Sukan Komanwel
1998 itu berpuas hati dengan persembahannya dan cukup berkeyakinan untuk
mengejutkan juara bertahan serta pemain nombor dua dunia dari Denmark, Peter
Gade-Christensen dalam perlawanan kedua Kumpulan A hari ini.
Sementara itu, Ewe Hock yang
masih segar dengan kejuaraan Terbuka Malaysia nyaris dikejutkan oleh Jonassen
apabila kalah mudah 2-7 pada set pembukaan dalam perlawanan Kumpulan D.
Pemain veteran negara itu
bagaimanapun bangkit untuk memenangi set kedua 7-2, sebelum melebarkan
kedudukan 2-1 dengan kemenangan 7-3 pada set ketiga dan tidak langsung diberi
tentangan dalam set terakhir apabila menang mudah 7-0.
Pertemuan menentang Vladislav
Druzchenko hari ini sedikit membimbangkan pemain berusia 29 tahun itu kerana
pemain Ukraine itu adalah orang yang bertanggungjawab mengejutkannya dalam
pusingan awal Kejohanan Dunia di Copenhagen pada 1999.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0809&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4bi2xPLtC
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan