ARKIB : 10/08/2001
Pemain perseorangan negara,
Roslin Hashim menewaskan pemain Denmark, Anders Boesen 7-2, 7-1, 7-4 pada
Kejohanan Badminton GP Dunia di Stadium Tertutup Hassanal Bolkiah, Brunei,
semalam. - Gambar Reuters.
Daripada NORZIE MOHD. KHASBI
BANDAR SERI BEGAWAN - Roslin
Hashim dan Ong Ewe Hock mencerahkan peluang untuk melangkah ke separuh akhir
Grand Prix Badminton Dunia Akhir selepas mencatat kemenangan kedua semalam.
Bagaimanapun Wong Choong Hann
menjadi pemain pertama Malaysia terkeluar daripada persaingan selepas menerima
kekalahan kedua berturut-turut di Stadium Hassanal Bolkiah, semalam.
Choong Hann nyaris mencipta
kejutan ke atas penyandang juara dan pilihan utama, Peter Gade-Christensen
sekali gus menghidupkan peluangnya untuk melangkah ke separuh akhir apabila
memegang mata perlawanan ketika mendahului 6-5 pada set keempat, selepas tiga
set terdahulu berkesudahan 2-7, 7-4, 7-3.
Bagaimanapun, impian pemenang
pingat emas Sukan Komanwel 1998 itu untuk meneruskan cabaran dimusnahkan oleh
tindakan pengadil, Dave Davies dari Wales membatalkan dua mata kemenangannya
atas alasan yang menimbulkan keraguan.
Mata kemenangan pertama Choong
Hann tidak diiktiraf apabila pengadil mengatakan bola hantaran Gade-Christensen
masuk, meskipun jelas ia telah keluar.
Pembatalan kedua lebih ketara
apabila pengadil terbabit membatalkan pukulan kemenangan pemain negara itu
apabila mendakwa raketnya terkena jaring, walau sebenarnya hanya bulu tangkis
yang menyentuh jaring.
Tindakan pengadil, yang turut
menimbulkan kemarahan penasihat badminton kebangsaan, Indra Gunawan menyebabkan
pemain tinggi lampai itu hilang tumpuan dan tewas 7-8 pada set keempat, sebelum
tunduk 4-7 dalam set penentuan.
Choong Hann akan bertemu pemain
Indonesia, Budi Santoso dalam perlawanan terakhir Kumpulan A hari ini,
keputusan tidak memberi sebarang makna sebaliknya sekadar melengkapkan jadual
pertandingan.
Kita mahu perlawanan bertaraf
tinggi kerana ini adalah kejohanan bertaraf dunia, tetapi bagaimana mutu
pengadilan sangat teruk ?,'' kata Indra.
Sementara itu, pilihan ketiga,
Roslin dan Ewe Hock bukan hanya mencatat kemenangan kedua berturut-turut
semalam, malah muncul pendahulu kumpulan masing-masing selepas kedua-duanya
mencatat kemenangan straight-set.
Kedudukan pendahulu
bagaimanapun tidak memberi sebarang makna atau kelebihan buat kedua-dua
perseorangan negara itu kerana tempat untuk ke separuh akhir tetap bergantung
kepada keputusan perlawanan terakhir peringkat kumpulan, hari ini.
Roslin, yang tidak banyak
dicabar ketika mengalahkan pemain panas baran dari Denmark, Anders Boesen 7-2,
7-1, 7-4 semalam, harus melepasi cabaran juara dunia dari Indonesia, Hendrawan
dalam perlawanan terakhir Kumpulan B jika mahu meneruskan kemaraan.
Hendrawan, 29, yang masih belum
menunjukkan keserasian dengan format tujuh mata dipaksa berhempas pulas untuk
menundukkan pemain Denmark, Kenneth Jonassen 7-4, 4-7, 0-7, 7-4, 7-2 dalam
pertarungan hampir 40 minit. - Utusan.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0810&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4bi3rPTJh
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan