ARKIB : 09/01/2002
Oleh Norzie Mohd. Khasbi
PEMAIN nombor empat dunia,
Roslin Hashim hanya akan beraksi pada Kejohanan Badminton Seluruh England, Mac
depan sekiranya berada dalam kondisi yang memuaskan.
Peluang Roslin untuk bertanding
pada kejohanan empat bintang yang menawarkan AS$125,000 (RM475,000) itu
bergantung kepada keadaannya selepas pulang daripada membantu Malaysia pada
pusingan akhir kelayakan Piala Thomas di Melbourne 20 hingga 24 Februari.
Presiden Nusa Mahsuri, Jalani
Sidek berkata, Roslin hanya akan dibenarkan ke Birmingham jika menunjukkan
potensi untuk muncul juara atau sekurang-kurangnya layak ke separuh akhir.
``Kita tidak boleh buat
keputusan sekarang. Penyertaan Roslin bergantung kepada kondisinya selepas
kelayakan Piala Thomas,'' kata Jalani selepas mengadakan pertemuan dengan
Persatuan Badminton Malaysia (BAM) di Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil semalam.
``Kalau kita rasa dia mampu
untuk mengembalikan prestasi kita akan hantar, tetapi kalau keadaannya lemah
dia terpaksa melupakan Seluruh England,'' katanya.
Menurut Jalani, buat masa ini
hanya dua pemain Nusa sudah mengesahkan penyertaan pada kejohanan itu iaitu
kedua-dua adik Roslin, Hafiz dan Muhammad Hashim.
Katanya, selain Seluruh
England, kedua-dua pemain juga akan beraksi pada Terbuka Switzerland 11 hingga
17 Mac, di mana beliau berharap Roslin dapat bertanding untuk mempertahankan
gelarannya.
BAM terdahulu mengumumkan tidak
akan menghantar pemain utamanya untuk beraksi pada Seluruh England yang
berlangsung pada 5 hingga 10 Mac kerana tarikhnya terlalu dekat dengan
kelayakan Piala Thomas.
Begitu pun jurulatih
perseorangan kebangsaan, Indra Gunawan dikatakan berminat untuk menghantar
pemain sedang meningkat, Lee Tsuen Seng beraksi ke kejohanan itu.
``Seperti Roslin, peluang Tsuen
Seng untuk bertanding pada Seluruh England bergantung kepada kondisinya
nanti,'' kata Indra.
``Bagaimanapun BAM tidak
menggalakkan kedua-dua pemain bertanding kerana khuatir mereka tidak dapat
mengembalikan prestasi selepas mengerah seluruh kudrat di Melbourne.''
Sementara itu Jalani berkata,
sekali pun Seluruh England adalah antara kejohanan wajib dalam kontrak bersama
penaja, Yonex tetapi dalam kes ini ia boleh dipertimbangkan.
Pusingan akhir Piala
Thomas/Uber 2002 akan diadakan di Guangzhou, China pada 9 hingga 19 Mei.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0109&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4bqOI6NSk
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan