Isnin, 16 Oktober 2017

Hafiz, Roslin berentap -- Buru tiket ke Sukan Olimpik Beijing 2008



ARKIB : 24/10/2007

Oleh Norzie Mohd. Khasbi

KUALA LUMPUR - Terdesak memburu tempat ke Sukan Olimpik 2008, perseorangan badminton negara, Muhd. Hafiz Hashim tekad menghalang abangnya, Mohd. Roslin Hashim dalam apa cara sekali pun apabila kedua-duanya bertemu di pusingan pertama Terbuka Denmark, hari ini.

Bagi Hafiz, 25, peluangnya untuk bertanding di Beijing kini dalam bahaya kerana menghuni tempat kelima dalam perseorangan Malaysia, di belakang Lee Chong Wei, Wong Choong Hann, Lee Tsuen Seng dan Roslin.

Satu lagi kesilapan pada Terbuka Denmark mampu mengundang padah, biar pun terpaksa menjadikan abangnya sebagai mangsa.

Juara Seluruh England 2003 itu terlepas tiket Sukan Olimpik 2004 di Athens ekoran prestasi buruk pada tahun itu dan dia nekad tidak mahu sejarah pahit itu berulang.

Katanya, bukan Roslin sahaja sebagai penghalang utama, malah dia berhati-hati jika menentang Anup Sridhar, pemain yang meranapkan impiannya di Kejohanan Dunia, Ogos lalu.

Jika melangkah ke suku akhir, jaguh Denmark, Kenneth Jonassen pemain yang dijangka menanti manakala pencabar di separuh akhir pula adalah juara dunia, Lin Dan.

‘‘Kedudukan saya untuk ke Temasya Beijing tampak tidak begitu baik ketika ini dan saya tidak mahu terlepas satu lagi peluang untuk bertanding pada Sukan Olimpik.

‘‘Apa yang akan berlaku di Terbuka Denmark mampu memberi kesan terhadap peluang saya, jadi saya harus mengambil serius setiap lawan yang akan ditemui, termasuk Roslin.

‘‘Memang amat malang saya terpaksa bertemunya pada pusingan pertama kerana dia juga seperti saya, terdesak untuk memburu tiket ke Olimpik. Namun, ia tidak akan merubah tekad saya untuk mencari keputusan terbaik di sini,’’ kata Hafiz ketika dihubungi di Odense, semalam.

Ironinya, Hafiz tidak tinggal sebilik dengan abangnya itu sepanjang berada di Denmark seperti kebiasaan, dia menginap bersama pemain nombor dua dunia, Chong Wei.

Ketika ditanya apakah tindakan itu bagi mengurangkan sentimen persaudaraan mereka menjelang pertemuan dengan Roslin, pemain itu bingkas menafikannya.

‘‘Itu tidak timbul sama sekali. Roslin datang dari Belanda (menyertai Terbuka Belanda) jadi dia tiba awal sebelum kami, sebab itu dia tinggal bersama pengurus pasukan. Saya pernah duduk dengan Roslin dan kemudian bertemunya di gelanggang,’’ katanya.

Kali terakhir kedua-dua beradik itu bertemu sesama sendiri adalah pada perlawanan akhir Terbuka Filipina 2006, ketika Hafiz merangkul kejuaraan tunggalnya tahun itu.

Roslin, 32, bagaimanapun memenangi dua pertemuan terdahulu mereka pada Kejohanan Dunia 2003 dan Terbuka Belanda 2000.

Sementara itu, Roslin berkata, amat merugikan kerana terpaksa berdepan adiknya sendiri seawal pusingan pertama kerana itu bermakna peluang salah seorang daripada mereka akan tersekat.

“Saya rasa rugi, memang satu kerugian kerana Hafiz merupakan rakan senegara saya tetapi saya akan menghadapi dia seperti juga lawan yang lain,’’ kata Roslin.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=1024&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4vjuvPJh6
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan