ARKIB : 15/08/2007
Roslin ketuai kemaraan
Oleh NORZIE MOHD. KHASBI
PERSEORANGAN negara, Mohd.
Roslin Hashim mendengar arahan jurulatih, Rashid Sidek ketika memulakan
pusingan pertama Kejohanan Dunia di Stadium Putra, Bukit Jalil semalam.
KUALA LUMPUR Pemain-pemain
Malaysia mengharungi cabaran yang baik pada hari kedua Kejohanan Badminton
Dunia semalam apabila semua lima wakilnya memenangi perlawanan pusingan pertama
masing-masing, diketuai perseorangan senior, Mohd. Roslin Hashim di Stadium
Putra, Bukit Jalil.
Bagaimanapun pasangan veteran,
Choong Tan Fook-Lee Wan Wah menjadi pemain pertama mengesahkan tiket pusingan
ketiga, biar pun pusingan kedua hanya akan bermula hari ini selepas pencabar
mereka, Frederic Mawet-Wouter Claesdari Belgium menarik diri.
Selepas dikejutkan dengan
kekalahan beregu lelaki, Tan Bin Shen-Ong Soon Hock pada hari pertama kelmarin,
tiada lagi kejutan tidak diingini berlaku, dengan Roslin mengetuai kemaraan
bersama pemain wanita nombor satunegara, Wong Mew Choo, dua beregu campuran - Tan
Bin Shen-Ooi Yu Hang dan Tan Wee Kiong-Woon Khe Wei serta beregu wanita, Lim
Pek Siah- Joanne Quay.
Namun begitu, cabaran sebenar
Malaysia hanya akan bermula hari ini apabila pemain-pemain utamanya diketuai
pilihan kedua, Lee Chong Wei serta dua beregu lelaki, Koo Kien Keat-Tan Boon
Heong dan Mohd. Fairuzizuan Tazari-Mohd. Zakry Latif memulakan kempen
masing-masing.
Semalam, Roslin, 32, yang
membuat penampilan ketiga pada Kejohanan Dunia bermula agak gemuruh ketika
berdepan cabaran pemain tidak ternama Sweden, Magnus Sahlberg sebelum mencatat
kemenangan straight-set 21-17,21-9. Roslin, 32, yang beraksi atas tiket
wildcard bakal berdepan ujian lebih getir hari ini apabila menentang juara
remaja dunia dua kali dan pilihan ketiga, Chen Jin. Kedua-dua pemain tidak
pernah bertemu, namun diatas kertas jaguh muda China itu menjadi pilihan untuk
memenangi pertemuan.
Naib juara Terbuka Malaysia,
Mew Choo pula melepasi halangan awal tanpa banyak masalah apabila mudah
mengetepikan Simone Prutsch dari Austria 21-10, 21-9 untuk menempah satu lagi
perlawanan mudah, menentang Ekaterina Ananita dari Rusia hari ini.
Sementara itu beregu remaja,
Wee Kiong-Khe Wei melepasi ujian sulung beraksi dalam Kejohanan Dunia pertama
mereka, namun dipaksa bangkit daripada ketinggalan pada set pertama sebelum
menang 18-21,21-13, 21-19 ke atas pasangan Kanada, Mike Beres-ValerieLoker.
Pasangan muda itu, yang
mendapat kepercayaan jurulatih Rexy Mainaky untuk beraksi atas tiket wildcard
kini akan menentang beregu handalan England dan pilihan kelima, Anthony
Clark-Donna Kellogg, naib juara dunia 2006.
Bin Shen pula menebus
kekalahannya dalam acara beregu lelaki dengan memberi persembahan lebih baik
dalam saingan beregu campuran apabila bergandingan dengan Yu Hang untuk
mengalahkan pasangan Amerika Syarikat, KhanBob Malaythong-Mesinee Mangkalakiri
21-7, 16-21, 21-18.
Menanti mereka pada pusingan
kedua adalah pilihanke-14 dari Indonesia, Muhammad Rijal-Greysia Polii, yang
mara selepas menang mudah ke atas beregu Itali, Klaus Raffeiner-Agnese
Allegrini 21-8, 21-8.
Pek Siah-Joanne pula
menundukkan Chen Kuei-ya-Jamie Subandhi dari Amerika Syarikat 21-16, 19-21,
21-10 untuk bertemu pilihan ke-15, Lena Frier Kristiansen-Kamilla RytterJuhl
dari Denmark.
Hari ini, juara Seluruh
England, Kien Keat-Boon Heong akan memulakan kempen memburu kejuaraan dengan
menentang pasangan Jerman, Roman Spitko-Michael Fuchs, manakala
Fairuzizuan-Zakry pula akan berdepan beregu nombor dua China dan naib juara
Terbuka Filipina, Guo Zhendong-XieZhongbo.
Chong Wei akan bertemu pemain
Belanda, Eric Pang, Hafiz pula dijangka tidak menghadapi masalah apabila
menentang Scott Evans dari Ireland, manakala Lee Tsuen Seng berdepan ujian
getir berdepan naib juara dunia, Bao Chunlai dari China.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0815&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4vOKkFL00
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan