Isnin, 16 Oktober 2017

Hafiz, Roslin bersemuka di pusingan pertama



ARKIB : 10/10/2007

KUALA LUMPUR – Perseorangan badminton negara, Muhd. Hafiz Hashim yang terdesak untuk kembali ke landasan terbaik bagi melayakkan diri ke Sukan Olimpik 2008 berdepan tugas getir pada kejohanan Siri Super Terbuka Denmark, apabila diundi menentang abangnya sendiri, Mohd. Roslin Hashim seawal pusingan pertama.

Hafiz, yang kini merosot ke ranking 22 dunia, sekali gus menjadi perseorangan keempat negara di belakang Lee Chong Wei, Wong Choong Hann dan Lee Tsuen perlu mencatat keputusan terbaik pada kejohanan 23-28 Oktober itu jika berhasrat untuk meraih tiket ke Beijing.

Sekiranya berjaya melepasi cabaran Roslin, cabaran lebih getir menanti di pusingan kedua apabila berdepan jaguh nombor lima dunia, Chen Hong dari China, dan jika mara ke suku akhir, dia bakal ditentang seorang lagi jaguh China, pemain nombor tiga dunia, Chen Jin.

Kesukaran Hafiz tidak setakat itu, sekiranya meneruskan kemaraan ke separuh akhir, juara dunia, Lin Dan dijangka menanti, selain bintang Denmark, Peter Gade, yang akan memulakan kempen dengan menentang jaguh perseorangan veteran negara, Wong Choong Hann.

Sementara itu Chong Wei dilihat selesa untuk mara sekurang-kurangnya ke suku akhir sebelum dinanti oleh naib juara dunia dari Indonesia, Sony Dwi Kuncoro, juara Terbuka Taiwan yang berjaya mengalahkannya pada pusingan ketiga Kejohanan Dunia, Ogos lalu.

Cabaran perseorangan lelaki negara pada kejohanan Siri Super bernilai AS$200,000 (RM688,000) itu juga akan digalas oleh Tsuen Seng, Yeoh Kay Bin dan Sairul Amar Ayob.

Sementara itu juara baru Terbuka Macau, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong dijangka menentang pasangan veteran Denmark, Lars Paaske-Jonas Rasmussen di suku akhir selepas memulakan kempen dengan berdepan pasangan Singapura, Hendri Kurniawan Saputra-Hendra Wijaya.

Choong Tan Fook-Lee Wan Wah juga dijangka bertemu beregu Denmark, Jens Eriksen-Martin Lundgaard Hansen di suku akhir, dan jika melangkah separuh akhir, mereka dijangka berdepan bekas juara dunia, Fu Haifeng-Cai Yun dari China, pasangan yang dikalahkan di peringkat yang sama pada Terbuka Macau, minggu lalu.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=1010&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_06.htm#ixzz4viaz1Otb
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan