Isnin, 16 Oktober 2017

Pei Tty-Eei Hui buat kejutan -- Hafiz pula tewaskan Roslin



ARKIB : 25/10/2007

KUALA LUMPUR - Beregu wanita nombor satu negara, Wong Pei Tty-Chin Eei Hui melakar kejutan pada pusingan pertama badminton Terbuka Denmark apabila menundukkan pasangan nombor satu dunia, Zhang Yawen-Wei Yili dari China, semalam.

Kemenangan Pei Tty-Eei Hui itu sekurang-kurangnya menggembirakan skuad badminton Malaysia yang turut dikejutkan dengan kekalahan juara Asia, Choong Tan Fook-Lee Wan Wah dalam saingan beregu lelaki.

Tan Fook-Wan Wah, pilihan kelima kejohanan tumpas mengejut 21-23, 21-13, 17-21 di tangan pasangan bukan pilihan dari Amerika Syarikat, Howard Bach-Khan Bob Malaythong.

Pei Tty-Eei Hui, yang tidak pernah menewaskan juara Seluruh England, Yawen-Yili dalam tiga pertemuan mereka dipaksa bekerja keras selama 54 minit sebelum menang 22-20, 14-21, 21-15.

Kemenangan ini pastinya menyuntik semangat tambahan buat beregu nombor 10 dunia itu dalam usaha memburu tiket Sukan Olimpik 2008.

Sekiranya berjaya mara ke suku akhir akhir, pasangan utama negara itu bakal menghadapi satu lagi laluan getir, menentang pilihan kelima dari China, Zhao Tingting-Yu Yang.

Sementara itu, dalam satu lagi perlawanan tumpuan, Muhd. Hafiz Hashim mengotakan janjinya untuk memberi tentangan terbaik kepada abangnya, Mohd. Roslin Hashim apabila memenangi pertarungan dua beradik itu di pusingan pembukaan.

Bagaimanapun cabaran dua wakil Kelab Raket Kuala Lumpur (KLRC) berakhir awal apabila Lee Tsuen Seng dan Sairol Amar Ayob tersingkir pada pusingan pembukaan.

Dalam perlawanan penuh sentimen di sebelah pagi, Hafiz diberikan cabaran sengit oleh Roslin pada set pertama sebelum menang 22-20, 21-15 dalam masa 40 minit.

‘‘Agak merugikan buat Malaysia apabila saya terpaksa mengalahkan rakan senegara sendiri untuk ke pusingan kedua tetapi inilah permainan dan saya boleh bertemu Roslin pada mana-mana peringkat dan kejohanan sekali pun selepas ini.

‘‘Saya tetap percaya dia masih pemain yang baik dan mampu memberikan cabaran kepada pemain utama lain. Saya harap kekalahan ini tidak akan menjejaskan peluangnya untuk ke Sukan Olimpik, bagi saya.. ia hanya satu permulaan kerana laluan selepas ini lebih sukar,’’ kata Hafiz ketika dihubungi di Odense, Denmark semalam.

Terdahulu, Sairol mensia-siakan kelebihan memenangi set pertama apabila kalah 21-19, 18-21, 15-21 kepada rakan sepelatih di KLRC, Andrew Smith dari England.

Pemain nombor tiga negara, Tsuen Seng pula gagal memberi tentangan terbaik kepada jaguh Jepun, Shoji Sato apabila tumpas 17-21, 14-21.

Sementara itu, cabaran wakil tunggal negara dalam perseorangan wanita berakhir selepas Wong Mew Choo tunduk 14-21, 17-21 kepada pemain China, Jiang Yanjao.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=1025&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz4vjw1MHG8
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan