ARKIB : 11/07/2008
KUALA LUMPUR - Masa depan
Muhammad Hafiz Hashim kini terletak di tangannya sendiri, selepas Nusa Mahsuri
akhirnya menyelesaikan 'kemelut pemain itu dengan kesediaan melepaskannya
kepada Persatuan Badminton Malaysia (BAM).
Nusa, yang sebelum ini agak
berkeras dengan juara Seluruh England 2003 itu akhirnya dengan rela hati
melepaskan pemain yang telah dibimbingnya sejak sembilan tahun lalu kerana
percaya, Hafiz diserahkan 'ke tangan yang lebih baik'.
Nada Nusa Mahsuri itu jauh
berbeza berbanding ketika Hafiz menyuarakan hasrat untuk menyertai kelab
profesional KLRC, lima bulan lalu, di mana mereka langsung tidak berkompromi
dan enggan melepaskan pemain tersebut.
Presiden Nusa Mahsuri, Jalani
Sidek berkata, beliau sudah menyerahkan segala dokumen yang diperlukan kepada
BAM sebelum menyerahkan Hafiz secara rasmi.
Bagaimanapun tegas Jalani,
tiada pampasan dituntut daripada badan badminton kebangsaan itu kerana BAM dan
Nusa sudah lama bekerjasama, malah punya satu matlamat yang sama - membangunkan
badminton negara.
"Kami hanya mahu yang
terbaik buat Hafiz dan badminton negara. Kalau dengan menyertai BAM boleh bantu
menyelesaikan masalah dan memulihkan karier Hafiz, maka kami harus memberi
sokongan.
"Nusa Mahsuri memang
sentiasa memberi kerjasama yang baik kepada BAM dan kerjasama itu bermula sejak
kami membenarkan Misbun dan Rashid menjadi jurulatih kebangsaan, setakat ini
saya sangat gembira dengan ikatan yang terjalin ini.
"Sekarang, urusan di
antara Nusa Mahsuri dan BAM hampir selesai, kini tinggal BAM dan Hafiz pula
berbincang mengenai terma mereka dan selepas itu barulah kontrak
ditandatangani,'' kata Jalani.
Bagaimanapun Jalani
mengingatkan Hafiz, dengan memilih BAM sebagai badan naungan yang baru, itu
bermakna dia perlu menggandakan usahanya dan tidak sebebas dulu kerana
persaingan yang bakal dihadapi kini jauh lebih hebat.
Tegasnya, badan badminton
negara itu punya ramai pemain yang perlu dijaga, justeru Hafiz mesti
menunjukkan prestasi lebih meyakinkan untuk dikekalkan dalam skuad elit
kebangsan dan membawa cabaran pada kejohanan utama.
Melihat perkembangan semasa
pemain tinggi lampai itu, Jalani mengakui, Hafiz sememangnya perlu bekerja
lebih daripada 110 peratus untuk menempatkan diri di kalangan pemain utama dan
harus mula melakar keputusan yang baik bermula pada 2009.
"Dua kekalahan Hafiz
kepada pemain Jepun (Kenichi Tago, Terbuka Indonesia dan Yuichi Ikeda di
Terbuka Thailand) memburukkan lagi imej Hafiz, jadi dia kena bangkit untuk
membuktikan mengapa dia berhak berada dalam skuad kebangsaan.
"Secara peribadi, saya
yakin Hafiz sebenarnya mampu mengembalikan zaman kegemilangannya. Dia ada semua
yang diperlukan untuk menjadi juara, skil, permainan dan bakat, cuma dia perlu
memperbaiki stamina dan fizikal,'' kata Jalani lagi.
sumberArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0711&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4zjkhlMRA
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan