Sabtu, 18 November 2017

Hafiz hadapi laluan sukar Seluruh England



ARKIB : 04/03/2008
KUALA LUMPUR – Berdepan lawan sukar seawal pusingan pertama menyukarkan juara edisi 2003, Muhammad Hafiz Hashim untuk ‘memasang impian’ melangkah jauh di kejohanan badminton Seluruh England di Birmingham, England yang bermula hari ini, lapor SAYED HESHAM IDRIS.

Pemain berusia 26 tahun itu diundi menentang pemain nombor tiga dunia, Bao Chunlai dari China di pusingan pertama esok. Sebelum ini, Hafiz tewas dalam dua pertemuan dengan Chunlai.

Undian malang itu turut menyempitkan lagi peluang Hafiz untuk meraih sebanyak mata yang mungkin bagi melayakkan dia ke Olimpik Beijing.

Ini penting kerana, Hafiz perlu mengutip sebanyak mata mungkin sehingga akhir April ini untuk layak ke Olimpik Beijing Ogos depan kerana Seluruh England adalah peluang terakhir yang mampu menjelmakan impian ke temasya berkenaan jika dia mencatat keputusan terbaik.

Sekalipun jika Hafiz melepasi cabaran Chunlai esok, laluannya tetap sukar kerana menantinya di pusingan kedua adalah juara Terbuka Korea, Lee Hyun Il dari Korea Selatan atau pemain nombor sembilan dunia, Chen Yu dari China.

Jika Hafiz ke suku akhir, dia mungkin berdepan jaguh Denmark, Peter Gade sebelum pemain nombor satu dunia, Lin Dan di separuh akhir.

Namun jika sentuhan 2003 mampu dijelmakan oleh bekas Juara Seluruh England ini, di mana ketika itu dia tidak diletakkan sebagai pilihan juara, Hafiz mampu mencerahkan peluang layak ke Olimpik Beijing.

Apa pun, undian kali ini sedikit melegakan jaguh negara, pemain nombor dua dunia, Lee Chong Wei yang dijangka hanya akan mula merasai bahang sebenar kejohanan pada peringkat suku akhir apabila bertemu juara Olimpik, Taufik Hidayat dari Indonesia.

Chong Wei, pilihan kedua kejohanan mendapat undian mudah apabila diundi menentang rakan senegara, Sairol Amar Ayob di pusingan pertama sebelum menentang Andrew Smith dari England pada pusingan berikutnya.

Seorang lagi pemain negara, Wong Choong Hann turut mendapat undian mudah apabila menentang Wacha Przemyslaw dari Poland di pusingan pertama, sebelum dijangka bertemu pemain nombor empat dunia, Chen Jin pada pusingan kedua.

Penyandang juara, Lin Dan dari China diletakkan sebagai pilihan pertama kejohanan dan menyasarkan kejuaraan hatrik kali ini.

Dalam beregu lelaki, juara bertahan, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong dijangka tidak menghadapi masalah untuk mara sekurang- kurangnya ke suku akhir.

Bagaimanapun dengan prestasi yang turun naik akhir-akhir ini, beregu nombor tiga dunia itu mampu berdepan kesukaran jika bertemu pasangan Denmark, Jens Eriksen- Martin Lundgaard Hansen atau Lars Paaske-Jonas Rasmussen di suku akhir.

Kiet Keat-Boon Heong, yang terkandas pada pusingan kedua Terbuka Malaysia Januari lalu, bakal bertemu pasangan nombor satu dunia, Fu Haifeng-Cai Yun dari China jika melangkah ke separuh akhir pada kejohanan Seluruh England tersebut.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0304&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4ymx6En6L
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan