Jumaat, 17 November 2017

Roslin wakil tunggal ke pusingan kedua Terbuka Jerman



ARKIB : 28/02/2008

KUALA LUMPUR – Dua pemain Kelab Raket Kuala Lumpur (KLRC), Lee Tsuen Seng dan Sairol Amar Ayob menyempitkan peluang untuk bersaing merebut tiket ke Sukan Olimpik Beijing selepas tersingkir seawal pusingan pertama kejohanan badminton Terbuka Jerman, semalam.

Pemain veteran Nusa Mahsuri, Mohd. Roslin Hashim bagaimanapun masih berpeluang untuk memburu tiket ke temasya 8-24 Ogos itu apabila muncul perseorangan tunggal Malaysia layak ke pusingan kedua.

Semalam, Tsuen Seng dan Sairol gagal menepati status mereka selaku pemain pilihan apabila tewas kepada lawan kurang ternama di pusingan awal.

Tsuen Seng, pilihan keempat kejohanan disingkirkan oleh pemain Belanda, Eric Pang 17-21, 22-20, 21-12 manakala Sairol, pilihan ke-10 kalah 13-21, 21-13, 21-10 kepada Jan O. Joergensen dari Denmark.

Roslin berjaya mengelak daripada turut mengalami kejutan apabila mudah menundukkan seorang lagi pemain Denmark, Kaspar Ipsen 21-12, 21-7.

Bekas pemain nombor satu dunia itu, yang turun sebagai pilihan ketujuh kini akan berdepan pemain muda Indonesia, Andreas Adityawarman.

Jika berjaya mengetepikan Andreas, Roslin dijangka berdepan pilihan ke-11, Joachim Persson dari Denmark pada pusingan ketiga.

Pada ketika pemain nombor dua dunia, Lee Chong Wei sudah pasti layak ke Sukan Olimpik, slot kedua perseorangan lelaki kini masih terbuka.

Jaguh veteran, Wong Choong Hann dan Muhammad Hafiz Hashim menjadi calon utama untuk merebut slot tersebut, namun tidak mustahil Roslin juga mampu meletakkan dirinya sebagai calon utama andai berjaya pada Terbuka Jerman.

Roslin kini menduduki ranking ke-23 manakala Hafiz ke-24. Choong Hann dan Tsuen Seng masing-masing berada pada ranking ke-16 dan ke-18 dunia dan Sairol jauh di kedudukan ke-29.

Selepas berakhirnya Terbuka Jerman, dua kejohanan Siri Super menanti pemain negara untuk mengukuhkan kedudukan mereka iaitu Seluruh England (4-9 Mac) dan Terbuka Switzerland (11-16 Mac).

Sekali pun gagal ke Sukan Olimpik, pencapaian terbaik pada baki kejohanan sehingga akhir April ini akan dijadikan penilaian untuk memilih pemain yang akan membawa cabaran Malaysia ke Piala Thomas di Jakarta, Mei ini.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0228&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4yhm70fUi
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan