Jumaat, 3 November 2017

Roslin nasihat Hafiz fikir habis-habisan



ARKIB : 02/02/2008

Oleh: NORZIE MOHD. KHASBI

KUALA LUMPUR - ''Jika benar Muhammad Hafiz Hashim buntu hingga terpaksa keluar daripada Nusa Mahsuri, lebih baik dia menyertai Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan bukan kelab persendirian lain.'' - Itu nasihat yang diberikan oleh abangnya sendiri, Mohd. Roslin Hashim.

Ketika ini, jaguh perseorangan negara itu berada di bawah naungan Nusa tetapi dipinjamkan kepada BAM kerana berada dalam program nasional, antaranya Sukan Olimpik dan Piala Thomas.

Sebagai pemain yang berada dalam program nasional, juara Seluruh England 2003 itu layak menikmati elaun Majlis Sukan Negara (MSN), namun begitu dia tidak menerima insentif BAM seperti yang diterima pemain di bawah naungan badan induk badminton negara itu.

Pada ketika faktor kewangan dilihat sebagai masalah yang menjejaskan sama sekali prestasi Hafiz dan hampir memusnahkan kariernya, bekas juara Sukan Komanwel dan Seluruh England itu dikatakan mula berkira-kira untuk keluar daripada Nusa.

"Hafiz ada meluahkan kepada saya mengenai masalah yang dihadapi tetapi tidaklah sampai hendak tinggalkan kelab. Saya hanya tahu tentang perkara itu di akhbar.

"Sebagai abang, apa yang boleh saya nasihatkan kepada Hafiz, kalau dia benar-benar tiada pilihan dan terpaksa keluar dari Nusa, adalah lebih baik dia menyertai BAM.

''Kalau dia mahukan kedudukan yang terjamin, bukan saja daripada segi kewangan, malah latihan yang terancang dengan jurulatih dan program terbaik, BAM adalah tempat yang paling baik buat mana-mana pemain.

"Apa pun, semua terpulang kepadanya, sama ada mahu yang jangka pendek atau jangka panjang. Apa pun, saya harap Hafiz dapat selesaikan masalahnya dengan cepat kerana fokusnya sudah terlalu banyak terjejas disebabkan semua yang berlaku,'' kata Roslin.

Ketika ini, peluang Hafiz untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik buat kali pertama tampak semakin pudar selepas mengalami kejatuhan pada ranking ke-24 Persekutuan Badminton Dunia (BWF), kelmarin.

Bagaimanapun, pada ketika kedudukannya semakin meruncing, Hafiz bagai diberi satu lagi 'talian hayat' apabila disenaraikan dalam barisan ke kelayakan Piala Thomas di Vietnam, 19-24 Februari ini.

Sementara itu, Hafiz ketika dihubungi mengesahkan dia sedang dalam proses untuk keluar dari Nusa Mahsuri.

''Saya sudah bincang perkara ini dengan pihak Nusa Mahsuri dan apa yang perlu diselesaikan sekarang ialah kontrak dengan penaja,'' katanya.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0202&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz4xNNAAxq3
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan