Jumaat, 17 November 2017

Beri saya peluang – Hafiz



 
ARKIB : 10/02/2008
MUHAMMAD HAFIZ HASHIM.

MUKADIMAH
TINDAKAN juara Seluruh England 2003, Muhammad Hafiz Hashim meninggalkan kelab yang telah ‘mendewasakannya’, Nusa Mahsuri untuk bertukar angin ke kelab profesional, KLRC yang dinaungi oleh KLRC Berhad telah mengejutkan peminat badminton tanah air.

Hasrat Hafiz itu lebih banyak mengundang reaksi negatif berbanding positif, apatah lagi dia turut melibatkan Majlis Sukan Negara (MSN) dan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), yang didakwa tidak serius membantunya keluar daripada masalah kewangan yang membelenggu.

Mingguan Malaysia tidak layak untuk menghukum siapa yang salah atau benar, tetapi menerusi wartawan, NORZIE MOHD. KHASBI, Hafiz diberi ruang menjelaskan rasional di sebalik setiap tindakannya. Pada kami, dia yang gigih berlatih, dia yang jatuh dan bangun, dia

yang merasa sakit, maka hanya dialah orang yang paling layak bercerita tentang dirinya.

MINGGUAN: Bila sebut Hafiz orang akan ingat Nusa Mahsuri, bila sebut Nusa, orang ingat Hafiz, Hafiz dan Nusa ibarat satu ikatan keluarga.

Saya dewasa bersama Nusa Mahsuri kerana saya menyertai mereka sejak usia 17 tahun lagi. Saya tidak hanya berlatih bersama Nusa, malah tinggal di rumah jurulatih, Misbun Sidek (1999-2002) dan kemudian rumah Rashid Sidek (setahun).

Mengapa jadi begini ?

Mulanya memang mereka beritahu saya tidak akan dibayar tetapi lepas keluar dari rumah Rashid, saya mula berdikari. Selama ini makan, tempat tinggal ditanggung, jadi walau tidak diberi wang saya tidak terasa tetapi bila duduk sendiri, baru rasa susah nak bayar sewa rumah, minyak kereta ke tempat latihan. Saya ceritakan masalah ini, mereka janji nak tolong, namun ia hanya janji.

Apakah dari situ bermulanya masalah Hafiz dengan Nusa ?

Masalah duit memang sudah timbul sejak itu tetapi saya tidak kisah sangat. Namun, saya mula terasa hati selepas bonus saya ketika menjuarai Seluruh England (2003) hanya dibayar tiga tahun selepas kemenangan, itu pun selepas banyak kali saya bersuara. Ini (bonus) mereka janji, ada dalam kontrak dengan penaja, itu hak saya. Di sini sudah tiada kejujuran.

Tak kan kerana bonus saja Hafiz terasa hati, terus nak tinggalkan Nusa selepas sembilan tahun susah senang bersama?

Saya juga ada komitmen dan tanggungjawab. Semakin kita dewasa maka semakin dewasa jugalah keperluan kita. Mereka tak boleh layan saya seperti Hafiz yang sembilan tahun lalu, jadi bila saya bangkitkan tentang elaun bulanan ia patut diambil serius. Bila dah tidak ada respons, saya kenalah cari jalan untuk tolong diri saya sendiri, sebab yang rasa susah dan sakit itu saya. Bila saya ambil keputusan nak keluar, saya pula dianggap macam orang jahat.

Mengapa baru sekarang nak dedahkan semua ini, rasa macam tak kena sangat ketika Sukan Olimpik (8-24 Ogos) dah dekat?

Sebenarnya, tahun lepas lagi saya nak keluar. Kemuncak kekusutan saya tiba apabila elaun (MSN) pula dipotong pada Oktober 2006 iaitu selepas tamat program Sukan Asia. Saya cuba bertahan, kami berbincang, jumpa Datuk Zolkples (Embong, Ketua Pengarah MSN) dan Tan Sri Elyas Omar (Pesuruhjaya Sukan) tetapi tak ada penyelesaian.

Bukankah pertemuan dengan Datuk Zolkples yang diatur oleh Jalani Sidek (Presiden Nusa Mahsuri) telah menemui formula yang akan keluarkan Hafiz dari masalah ini?

Ada beberapa cadangan yang diberikan daripada pertemuan itu tetapi saya sendiri sudah tidak yakin. Mungkin terlalu lama berlarutan, jadi keadaan dah tak selesa lagi. Bila Datuk Zolkples kata, terpulang kepada saya untuk tentukan masa depan, jadi saya pun fikir, ya, memang terpulang kepada saya tentukan apa yang terbaik untuk diri saya.

Apa yang membuatkan Hafiz yakin masa depan Hafiz akan lebih terjamin di KLRC, kelab yang hingga kini belum mencatat kejayaan besar.

Pertama, mereka ada program latihan dan jurulatih yang meyakinkan, itu paling penting. Mungkin pemain mereka kurang berjaya tapi tak bermakna saya tidak boleh berjaya. Kedua, saya juga telah mendapatkan info daripada rakan-rakan di sana, setakat ini, KLRC tidak pernah sekali pun memungkiri kontrak atau janji mereka. Mereka ada skim gaji, insentif kemenangan dan semua itu tertulis secara hitam putih.

Sudah lihat terma kontrak yang bakal ditandatangani ? Macam mana program latihan, siapa jurulatih atau macam mana pembayaran elaun dibuat?

Kami sudah bercakap secara lisan tetapi kontrak atau terma memang belum ada, sebab itu saya belum tanda tangani apa-apa kontrak. Saya mungkin akan berlatih bersama Cheah Soon Kit atau Ong Beng Tiong, itu tidak pasti, tetapi saya sudah bersedia berdepan cabaran baru.

Ada yang mendakwa tindakan Hafiz ini dipengaruhi pihak tertentu yang mahu menangguk di air keruh?

Memang saya telah dipengaruhi tetapi bukan oleh individu, sebaliknya keadaan yang tidak lagi mengizinkan saya kekal di Nusa. Memang saya ada jurulatih yang amat baik (Misbun Sidek) tetapi saya sudah tidak selesa di situ, lagi pun karier saya sudah jatuh, jadi tak salah kalau saya mencari jalan untuk menyelamatkannya.

Baru-baru ini Hafiz ada keluarkan kenyataan tentang MSN, BAM dan Nusa yang didakwa tidak serius membantu menyelesaikan masalah Hafiz, tidak takut ke kenyataan itu akan memberi implikasi buruk, seperti menyempitkan peluang mewakili negara di masa akan datang?

Kata Datuk Zolkples, pemilihan pemain ke kejohanan utama adalah berdasarkan merit. Tidak kisah saya main dengan Nusa atau KLRC, kalau saya bagus saya akan dipilih, itu jaminan dia dan jaminan saya, walau di mana saya bermain, saya akan bekerja keras untuk merebut tempat dalam skuad negara.

Nama Hafiz sudah terlalu lama hilang daripada senarai pemenang kejuaraan utama sejak memenangi Seluruh England 2003 dan pingat emas Sukan Komanwel 2002. Pada usia mencecah 26 tahun, apakah anda yakin anda masih mampu bangkit?

Saya dah jumpa punca ‘penyakit’ saya. Selama ini, fikiran dan hati saya tidak ada di situ (gelanggang) kerana terlalu banyak perkara yang menganggu tetapi percayalah, bila semua selesai nanti, saya dapat memberi tumpuan 100 peratus kepada permainan dan kembali ke tahap yang lebih tinggi.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0210&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4yh8ncnAb
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan