Isnin, 3 April 2017

Roslin, Hafiz lepasi halangan



ARKIB : 30/07/2003
MOHD. ROSLIN HASHIM beraksi ketika menentang Boonsak Polsana dari Thailand pada pusingan pertama kejohanan Badminton Dunia di Birmingham, semalam. Roslin menang 15-12, 15-9. - Gambar Reuters.

BIRMINGHAM, England - Pemain adik-beradik, Muhammad Hafiz Hashim dan Mohd Roslin Hashim menempah perlawanan paling sukar pada Kejohanan Dunia hari ini apabila bertemu sesama sendiri pada pusingan kedua selepas masing-masing melepasi halangan awal di National Indoor Arena, semalam.

Di sebalik kejayaan Roslin dan Hafiz, seorang lagi pemain negara, Lee Tsuen Seng pula tewas kepada pemain nombor dua dunia dan pilihan pertama, Kenneth Jonassen dari Denmark 17-15, 11-15, 10-15 dalam masa satu jam 32 minit.

Roslin terlebih dahulu mengesahkan tiketnya pada pusingan kedua, menundukkan pemain pilihan, Boonsak Polsana dari Thailand 15-12, 15-19, sebelum Hafiz menuruti jejak abangnya dengan mudah mengetepikan lawan tidak ternama dari Rusia, Stanislav Pukhov 15-5, 15-5.

Kemenangan Roslin, yang memperoleh tempat ke Kejohanan Dunia pada saat-saat akhir selepas beberapa pemain menarik diri, melebarkan rekod kemenangannya ke atas pilihan ke-12 itu kepada 3-0.

Pemain Nusa Mahsuri berusia 28 tahun itu bagaimanapun bermula agak perlahan sekalipun mendahului 13-7, dia membenarkan lawan mengejar kepada 13-12 sebelum memenangi set pembukaan 15-12 dalam masa 33 minit.

Permainan pemenang pingat emas Sukan SEA itu semakin kemas pada set kedua, mendahului 6-4, 10-9, sebelum memastikan kemaraan ke pusingan kedua dengan keputusan 15-9 yang diperoleh dalam masa 15 minit.

``Saya agak perlahan pada pusingan pertama dan terpaksa melengah-lengahkan permainan ketika Boonsak mula mengejar dia mungkin boleh memenangi set pertama jika saya tidak berbuat demikian,'' kata Roslin, yang memenangi pertemuan terakhir kedua-dua pemain pada Sukan SEA.

``Sekarang apa yang saya bimbangkan sudah menjadi kenyataan, saya akan

bertemu Hafiz dalam pusingan kedua. Walaupun menang pada satu-satunya pertemuan antarabangsa kami, tetapi keseluruhannya saya tidak memiliki rekod yang baik ke atasnya.''

Roslin, 28, mengalahkan Hafiz dalam perlawanan antarabangsa terakhir kedua-dua pemain, Terbuka Belanda 2000. Namun begitu, dia tidak pernah mengalahkan adiknya sepanjang sesi sparring atau di kejohanan tempatan, malah tewas pada pertemuan terakhir di Cabaran Elit, Jun lalu.

``Saya tidak gembira dengan perlawanan ini (menentang Hafiz), bukan kerana dia adik saya tetapi kami sama-sama pemain Malaysia. Begitupun saya telah disiapkan untuk menghadapi Kejohanan Dunia dan akan beraksi tanpa sebarang sentimen.''

Sementara itu bagi juara Seluruh England, Hafiz, 21, berkata, dia tidak akan berkompromi apabila berdepan abangnya, malah percaya ibunya juga akan gembira jika salah seorang daripada mereka memenangi perlawanan ini.

Tegas Hafiz lagi, tiada sebarang perbincangan pernah diadakan antara dia, Roslin, jurulatih Misbun Sidek atau keluarganya untuk memberikan laluan kepada salah seorang daripada mereka apabila bertemu pada pusingan kedua.

``Saya pasti ibu saya akan gembira sama ada saya atau Roslin menang esok, saya juga yakin Roslin memahami keadaan kami dan tiada perasaan dendam jika salah seorang kalah. Saya dan dia sama-sama berada di sini untuk menang,'' katanya.

``Saya akan menggunakan pengalaman yang ada untuk memberikan aksi terbaik apabila berdepan Roslin, saya tahun corak permainannya dan yakin memiliki kelebihan,'' katanya lagi.

Menurut Hafiz, yang terus menghubungi ibunya di tanah air sebaik menamatkan perlawanan untuk mendapatkan restu, pertemuan dengan Pukhov membolehkan dia memperoleh perlawanan pemanas badan yang mencukupi untuk menghadapi perlawanan hari ini. - Utusan

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0730&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4dBLyqGl3
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan