ARKIB : 17/07/2003
SELEPAS tersingkir pada pusingan
awal dua tahun lalu, perseorangan badminton negara, Roslin Hashim lebih selesa
turun sebagai pemain bukan pilihan pada Kejohanan Dunia di Birmingham, 28 Julai
hingga 3 Ogos ini, lapor Norzie Mohd. Khasbi.
Menurut Roslin, 28, bermain
sebagai pemain nombor satu dunia dan pilihan pertama dua tahun lalu memberi
tekanan yang amat berat kepadanya.
Bagaimanapun pemain Nusa Mahsuri
itu tidak lagi akan menikmati status pilihan tahun ini apabila Persekutuan
Badminton Antarabangsa (IBF) mengeluarkan senarai kedudukan pilihan hari ini.
``Mungkin bagi pemain lain mereka
mahukan status pilihan untuk menjamin undian lebih baik, tetapi pada saya,
lebih selesa beraksi sebagai underdog,'' katanya selepas sesi latihan di
Stadium Juara, Bukit Kiara semalam.
``Saya sudah rasakan tekanan
bermain sebagai pilihan utama dan menjadi perhatian, ia bukan suasana yang
selesa dan lebih mengecewakan kalau kalah kepada pemain tidak ternama.''
Roslin yang tidak merangkul sebarang
gelaran antarabangsa sejak muncul juara Sukan SEA 2001 tersingkir pada pusingan
kedua di Seville dua tahun lalu selepas dikejutkan oleh pemain Hong Kong, Tam
Kai Chuen 15-10, 15-8.
Dia juga pada awalnya terlepas
tiket ke Kejohanan Dunia tahun ini tetapi mendapat tempat pada saat-saat akhir
selepas penarikan diri beberapa pemain berikutan penundaan kejohanan dari Mei
ke Julai kerana wabak Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS).
Pemain nombor satu negara, Wong
Choong Hann dijangka menjadi satu-satunya perseorangan Malaysia mendapat status
pilihan apabila senarai pemain dikeluarkan IBF.
Choong Hann, 25, juara Terbuka
China kini berada pada ranking ke-10 dunia, hanya 16 pemain terbaik layak
menerima status tersebut.
Roslin menduduki tangga ke-37
dunia, satu anak tangga di bawah Lee Tsuen Seng (36), manakala juara Seluruh
England, Muhammad Hafiz Hashim berada pada ranking ke-44.
Selepas kedudukan pilihan
dikeluarkan hari ini, undian pula akan dibuat esok, di mana IBF memberi jaminan
bahawa satu peraturan telah diperkenalkan bagi mengelakkan pemain bertemu
dengan rakan senegara di pusingan awal.
``Agak merugikan jika terpaksa
bertemu rakan senegara pada pusingan awal, harap ia tidak akan terjadi,'' kata
Roslin.
``Kalau ada lebih ramai pemain
Malaysia mara ke pusingan ketiga atau suku akhir, peluang kita untuk muncul
juara juga lebih cerah.''
Menurut Roslin lagi, dia yakin
keadaannya, terutama mentaliti lebih bersedia berbanding tahun lalu dan
menetapkan sasaran sekurang-kurangnya ke suku akhir.
Naib juara Seluruh England, Chen
Hong dari China kini menduduki tangga teratas ranking dunia dan bakal diletak
sebagai pilihan pertama, diikuti juara Terbuka Korea, Kenneth Jonassen dari
Denmark.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0717&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4d690N7TD
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan