Ahad, 30 Julai 2017

Roslin, Mew Choo mara

ARKIB : 26/08/2006
KUALA LUMPUR – Cabaran Malaysia kini hanya diletakkan kepada acara perseorangan lelaki dan wanita apabila Mohd. Roslin Hashim dan Wong Mew Choo layak ke separuh akhir badminton Terbuka Korea, semalam.

Pada suku akhir semalam, Roslin menewaskan pemain China, Chen Yu dengan 21-8, 21-17 dalam masa 35 minit.

Roslin yang menewaskan pilihan pertama kejohanan yang juga rakan senegara, Lee Chong Wei di pusingan kedua lalu akan bertemu pemain tuan rumah, Shon Seong Mo di separuh akhir.

Seong Mo layak selepas menewaskan pemain Thailand, Boonsak Ponsana 21-18, 21-13 dalam satu lagi aksi suku akhir yang berlangsung selama 40 minit, semalam.

Satu lagi separuh akhir perseorangan lelaki akan mempertemukan pemain China, Boa Chunlai dan seorang lagi pemain Korea, Lee Hyun Il.

Di suku akhir semalam, Chunlai menewaskan pemain muda tuan rumah, Jong Young Soo 21-12, 21-17 manakala Hyun Il menewaskan seorang lagi pemain negara, Sairul Amar Ayob 21-14, 21-14.

Buat kali pertama, Malaysia mempunyai wakil di separuh akhir acara perseorangan wanita dalam sejarah kejohanan ini apabila Mew Choo menceriakan kem negara dengan kemenangan dramatik di suku akhir, semalam.

Walaupun diheret hingga ke permainan tiga set oleh pemain Jepun, Kanako Yonekura tetapi Mew Choo bangkit daripada kekalahan set pertama sebelum menang 19-21, 21-14, 21-18.

Di separuh akhir hari ini, Mew Choo bakal berdepan satu lagi tugas berat apabila bertemu pemain China, Zhu Lin.

Satu lagi separuh akhir mempertemukan pemain Jerman, Yu Huaiwen dan pemain China, Lu Lan.

Harapan untuk menyaksikan Malaysia juga mempunyai wakil di separuh akhir beregu lelaki lebur apabila pasangan Koo Kien Keat-Chan Chong Ming tumpas kepada pasangan Tony Gunawan-Candra Wijaya 21-13, 17-21, 21-16.
sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0826&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4oIgP1buk

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan