Sabtu, 15 April 2017

Roslin tumbang, beregu mara

 PASANGAN Malaysia, Choong Tan Fook (belakang) dan Lee Wan Wah memberikan aksi menarik ketika menentang beregu Denmark, Jonas Rasmussen dan Lars Paaske pada suku akhir acara beregu lelaki badminton Seluruh England, kelmarin. Beregu Malaysia menang 15-13, 15-11. - Gambar AFP.
BIRMINGHAM, England - Beregu veteran Choong Tan Fook/Lee Wan Wah kini menjadi satu-satunya pemain Malaysia yang berjaya melangkah ke separuh akhir kejohanan badminton Seluruh England yang berlangsung di National Indoor Arena, kelmarin.
Tan Fook/Wan Wah, pemain pilihan kelapan, menewaskan lawan mereka, Lars Paaske/Jonas Rasmussen dari Denmark 15-13, 15-11 dalam masa 47 minit.
Pasangan Malaysia itu mendahului 2-0 namun pasangan nombor satu dunia itu terus memburu mereka dan berjaya menyamakan kedudukan pada kedudukan 8-8.
Menerusi pukulan `smash' lompat dan permainan jaring, pasangan Malaysia itu berjaya memerangkap lawan dengan mengutip enam mata dan hanya memberi lawan lima mata untuk menamatkan perlawanan dengan keputusan 15-3.
Pada set kedua, Tan Fook/Wan Wah yang beraksi penuh keyakinan, mendominasi permainan dari awal walaupun pasangan Denmark itu terus memburu mereka sebelum pasangan Malaysia itu memenangi permainan dengan keputusan 15-13.
Mereka dijadual bertemu Cai Yun/Fu Haifeng dari China yang sebelum itu menewaskan pasangan Korea Selatan Lee Dong Soo/Yoo Yong Sung 15-1, 15-8.
Kali terakhir Malaysia memenangi kejuaraan beregu lelaki ialah pada 1982, menerusi pasangan Razif/Jalani Sidek.
Jurulatih beregu kebangsaan Yap Kim Hock memuji prestasi pemainnya.
``Hari ini mereka bermain dengan jiwa dan minda yang sama. Itu sebab mereka berjaya mengukuhkan kombinasi,'' kata Yap di sini, semalam.
Sementara itu, dalam acara perseorangan lelaki, Malaysia menamatkan kempennya apabila Mohd. Roslin Hashim mudah tunduk kepada lawannya dari Denmark pada peringkat suku akhir.
Selepas juara bertahan, Muhammad Hafiz Hashim tewas mudah kepada Anders Boesen dari Denmark pada pusingan ketiga semalam dengan keputusan 9-15, 8-15, abangnya Roslin, satu-satunya perseorangan lelaki yang melepasi halangan itu, ditewaskan oleh seorang lagi pemain Denmark Peter Gade-Christensen 4-15, 15-9, 10-15 dalam masa 80 minit.
Roslin, pemain pilihan ke-15 gagal menyaingi pemainan rali dan drop mengejut lawan apabila tewas mudah 4-15 pada set pertama.
Pemain kelahiran Kelantan itu yang terkenal kerana ketahanannya yang mampu mengheret lawan dalam permainan rali panjang, bangkit pada set kedua walaupun ketinggalan 1-3.
Dengan rali panjang yang memenatkan lawan, Roslin yang pernah menjadi pemain nombor satu dunia, berjaya menyamakan kedudukan 3-3 sebelum meninggalkan lawan pada peringkat 9-8.
Menerusi pertukaran servis sebanyak dua kali, Roslin mengutip enam mata berturut-turut dan menamatkan perlawanan dengan keputusan 15-9.
Dalam set penentuan, Gade pula meninggalkan lawannya 8-2.
Pemain Denmark itu membenarkan Roslin mengutip dua mata.
Gade akhirnya memenangi perlawanan itu dengan keputusan 15-10.
Kedua-dua pemain itu kali akhir bertemu pada Terbuka Taiwan pada 2002 dengan memihak kepada pemain Denmark.
Ketua jurulatih Malaysia Misbun Sidek berkata Roslin patut menang dalam pelawanan itu jika penjaga garisan memihak kepada Malaysia apabila pukulan smash Gade jelas keluar garisan ketika kedua-dua pemain terikat pada kedudukan 8-8 pada set penentuan.
``Jika penghakiman memihak kepada Roslin, ia mungkin memberi beliau semangat untuk terus meninggalkan lawannnya.
``Namun kami tidak akan membuat bantahan rasmi. Ia tidak akan mengubah keputusan akhir,'' katanya. - Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan