ARKIB : 18/05/2007
Oleh: NORZIE MOHD. KHASBI
ROSLIN HASHIM.
KUALA LUMPUR Hajat Mohd.
Roslin Hashim (gambar) untuk beraksi pada Kejohanan Dunia terkabul semalam,
apabila Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menyenaraikan namanya sebagai
perseorangan keempat menerusi tiket wild card.
Turut mendapat tempat pada
kejohanan di Stadium Putra, Bukit Jalil 13-19 Ogos itu adalah Mohd. Fairuzizuan
Tazari-Mohd. Zakry Abdul Latif, yang mendapat kepercayaan kerana muncul naib
juara beregu Terbuka Indonesia. Pasangan muda itu juga beraksi dengan tiket
wild card.
Selaku tuan rumah, Malaysia
diberikan satu tiket wild card untuk setiap acara perseorangan lelaki, beregu
lelaki, perseorangan wanita, beregu wanita dan beregu campuran.
Seperti diduga, juara Terbuka
Indonesia, Lee Chong Wei, Muhammad Hafiz Hashim dan pemain Kelab Raket Kuala
Lumpur (KLRC), Lee Tsuen Seng mengisi tiga lagi tempat dalam perseorangan
lelaki.
Dua pasangan terbaik negara,
Choong Tan Fook-Lee Wan Wah dan Koo Kien Keat-Tan Boon Heong pula mengetuai
cabaran beregu lelaki.
Walaupun penyenaraian Roslin
mampu menjernihkan hubungan tegang dengan BAM, namun badan badminton negara itu
menegaskan bahawa pemilihan Roslin tiada kena mengenai dengan kontroversi
pemain itu.
Ketua jurulatih kebangsaan, Yap
Kim Hock berkata, Roslin disenaraikan kerana posisinya sebagai pemain nombor
empat Malaysia ketika ini, iaitu berdasarkan ranking dunia, selain mengambil kira
rekod dan prestasi semasa.
Tegasnya lagi, tiada siapa
boleh menafikan bahawa prestasi pemain Nusa Mahsuri itu ketika ini lebih
meyakinkan berbanding tiga pencabar terdekat, Wong Choong Hann, Sairol Amar
Ayob atau Yeoh Kay Bin.
Roslin dipilih bukan kerana
kami memenuhi tuntutan ganti ruginya terhadap BAM, ia tiada kena mengena
langsung.
Faktor utama dia dipilih
kerana.. pertama, mengikut ranking dunia dia adalah pemain nombor empat negara
ketika ini, kedua prestasi semasa meletakkan dia sebagai pemain terbaik selepas
Chong Wei dan Hafiz, ketiga dia memiliki rekod baik ke atas pemain-pemain utama
dari China.
Roslin pernah mengalahkan
pemain utama seperti Chen Yu, Boonsak (Ponsana) dan Bao Chunlai, jadi dia
mempunyai prospek yang baik untuk melangkah ke perlawanan akhir. Kita hanya
pilih pemain yang ada potensi, kata Kim Hock.
Chong Wei yang mempamerkan
kebangkitan di Indonesia minggu lalu kini menduduki ranking keenam dunia,
diikuti Hafiz (9), Tsuen Seng (16) dan Roslin 19.
Choong Hann yang mengalami
kemerosotan ranking sejak kembali daripada kecederaan kaki berada di kedudukan
35 dunia manakala Sairul dan Kay Bin masing-masing ranking 22 dan 23.
Sementara itu, BAM masih
berharap senarai pemain Malaysia pada Kejohanan Dunia mampu bertambah apabila
senarai fasa kedua diumum Persekutuan Badminton Dunia (BWF), 25 Mei ini.
Menurut Kim Hock, satu lagi
pasangan muda negara, Tan Bin Shen-Ong Soon Hock, yang kini menduduki ranking
ke-14 dunia masih berpeluang untuk meraih tiket automatik.
Senarai pemain yang diumumkan
hari ini tidak akan ada perubahan, kecuali penambahan pemain jika Bin Shen-Soon
Hock dapat menempatkan diri dalam ranking selepas 25 Mei ini.
Naib juara Terbuka Malaysia,
Wong Mew Choo dan juara kebangsaan, Julia Wong mengisi slot perseorangan wanita
bersama Lydia Cheah yang diberi tiket wild card.
Pemenang pingat gangsa tahun
lalu, Kien Keat-Wong Pei Tty tidak disenaraikan dalam beregu campuran kali ini
kerana jurulatih mahu mereka memberi tumpuan kepada acara utama.
Cabaran beregu campuran kini
dipikul pemain KLRC, Joanne Quay yang berganding dengan pemain New Zealand,
Daniel Shirley manakala pemain pelapis, Tan Wee Kiong-Woon Khe Wei mendapat
tiket wild card.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0518&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4u4jxULzN
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan