Sabtu, 23 September 2017

Kes Roslin bukan sabotaj



ARKIB : 21/04/2007

Oleh Norzie Mohd. Khasbi

KUALA LUMPUR – Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menafikan wujudnya unsur sabotaj yang menyaksikan nama jaguh veteran, Muhd. Roslin Hashim tercicir daripada menyertai Terbuka Singapura dan Terbuka Indonesia, bulan depan.

Pengurus Besarnya, Kenny Goh menegaskan, kesilapan itu dilakukan tanpa niat dan merupakan kecuaian manusia yang amat dikesali.

Tegas Kenny lagi, BAM tidak pernah mempunyai niat untuk menamatkan karier badminton Roslin, malah masih menganggap pemain Nusa Mahsuri itu sebagai aset penting negara.

“Saya tidak berganjak daripada kenyataan awal bahawa BAM cuai sehingga menyebabkan nama Roslin tercicir daripada Terbuka Singapura dan Terbuka Indonesia, kami amat menyesali perkara itu dan meminta maaf.

“Bagaimanapun saya ingin menegaskan bahawa unsur sabotaj tidak wujud sama sekali. Jika benar kami hendak menyingkirkan Roslin, mengapa kami menyenaraikan namanya ke Kejohanan Asia?

“Konfederasi Badminton Asia (ABC) hanya memberi enam tempat kepada perseorangan lelaki negara pada kejohanan itu tetapi kami berkeras untuk meminta lebih banyak tempat supaya dapat dimasukkan lebih ramai pemain, termasuk Roslin.

“Tahun lalu, kami juga menyenaraikan Roslin ke Sukan Asia, malah namanya juga sering mengisi tempat di Sukan SEA. Pada kami, Roslin masih pemain penting dan tiada sebab untuk disingkirkan,’’ kata Kenny.

Menurut Kenny, pegawai yang dipertanggungjawabkan untuk menguruskan permohonan pemain ke kejohanan antarabangsa cuai ketika menyemak nama pemain ke Terbuka Singapura dan Indonesia tetapi agak malang buat Roslin apabila dia menjadi mangsa kecuaian itu.

Katanya lagi, kesilapan tersebut boleh berlaku kepada mana-mana pemain, termasuk Lee Chong Wei atau Muhammad Hafiz Hashim dan bukannya ditujukan khas kepada Roslin, meskipun ini adalah kali keempat kejadian yang sama berlaku.

“Kami cuba mendapatkan bantuan BWF (Persekutuan Badminton Dunia) untuk merayu PBSI (Persatuan Bulu Tangkis Indonesia) bagi memasukkan nama Roslin pada Terbuka Indonesia (8-12 Mei ini).

“Kedudukan Roslin akan diketahui pada Isnin ini. Harap usaha kami akan berhasil dan Roslin diberi kebenaran untuk beraksi, tetapi jika tidak, ia amat dikesali,’’ kata Kenny.

Menurut Kenny lagi, untuk memastikan kejadian yang sama tidak berulang, BAM akan memperketatkan sistem dengan membentuk satu jawatankuasa khas bagi memeriksa permohonan setiap pemain pada kejohanan akan datang.

Katanya, jawatankuasa tersebut yang terdiri daripada kakitangan BAM akan dipertanggungjawabkan untuk memeriksa semua butiran pemain bersama surat dan borang permohonan.

Bagaimanapun, mereka tidak diberi kuasa untuk meluluskan atau menolak permohonan, hanya memastikan setiap permohonan diproses dengan sebaiknya.

Sementara itu, mengenai amaran Roslin untuk mengheret badan badminton negara itu ke muka pengadilan andai namanya gagal disenaraikan ke Indonesia, Kenny berkata: “Saya tidak mahu mengulas.’’

Malah, katanya, BAM tidak bercadang untuk bersemuka dengan pemain itu secara peribadi kerana sebaiknya perkara tersebut diselesaikan dengan kelab yang mewakili pemain itu.

“Kami bersikap profesional dan mengikut prosedur iaitu berbincang dengan Nusa Mahsuri sebagai kelab yang mewakili Roslin.

“Sebarang keputusan akan dimaklumkan kepada pihak Nusa Mahsuri. Setakat ini kami tidak bercadang untuk bertemu dengan Roslin secara peribadi bagi membincangkan perkara ini,’’ katanya lagi.

Roslin, 32, yang sebelum ini terlepas untuk bertanding pada Terbuka Malaysia kerana tidak disenaraikan kini menghadapi peluang tipis untuk melayakkan diri ke Kejohanan Dunia di Bukit Jalil, Ogos ini.

Terbuka Malaysia, Singapura dan Indonesia memberi mata ranking yang tinggi buat pemain kerana merupakan pusingan dalam Siri Super.

Malah, Terbuka Singapura yang menawarkan hadiah lumayan AS$200,000 (RM704,000) juga merupakan kejohanan sulung menawarkan mata kelayakan Sukan Olimpik 2008.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0421&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4tXv9Ar4j
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan