ARKIB : 20/04/2002
ROSLIN HASHIM (kanan) sempat
bergurau dengan rakannya Ong Wee Hock pada sesi menjalani latihan kecergasan di
Kong Ming Hall, Balakong semalam. - Gambar ZAKI AMIRUDDIN.
Oleh: NORZIE MOHD. KHASBI
PEMAIN Nusa Mahsuri, Mohd. Roslin
Hashim dan adiknya, Muhammad Hafiz yang tersenarai dalam pasukan Piala Thomas
ke Guangzhou bulan depan, mungkin menambah jumlah hari latihan bersama skuad
kebangsaan.
Buat masa ini, kedua-dua pemain
hanya menjalani latihan pusat tiga hari seminggu - Isnin, Rabu dan Jumaat iaitu
pada sebelah petang.
Begitupun, dengan pengesahan nama
mereka dalam skuad negara kelmarin, Roslin dan Hafiz dijangka akan lebih kerap
menyertai latihan bersama rakan-rakan lain.
``Ia adalah sesuatu yang amat
baik buat pasukan jika Roslin dan Hafiz mahu berlatih lebih kerap bersama kami,''
kata jurulatih perseorangan, Indra Gunawan.
``Dalam tempoh tiga minggu
menjelang Piala Thomas apa yang kami cari adalah memupuk semangat berpasukan,
kehadiran mereka dapat meningkatkan motivasi pasukan.''
Latihan skuad Piala Thomas ketika
ini diadakan lima hari seminggu di Dewan Badminton Kong Meng, Balakong sebelum
ia berpindah ke Stadium Badminton Kuala Lumpur (KLBA), Cheras Isnin ini.
Latihan tersebut sepatutnya sudah
berpindah lebih awal tetapi masalah lampu di KLBA menyebabkan ia ditangguhkan sehingga
minggu depan.
Sementara itu, Indra semalam
tetap dengan pendiriannya bahawa pemilihan bekas pemain nombor satu dunia,
Roslin adalah tepat walaupun pemain itu sedang mengalami kemerosotan prestasi.
Katanya, Roslin mampu membolehkan
Malaysia memiliki barisan yang seimbang kerana pengalamannya dapat menjadi
senjata utama dalam mencatur strategi.
``Saya percaya pengalaman Roslin
masih amat berguna buat Malaysia,'' kata Indra. ``Sekarang terserah pada dia
bagaimana hendak membalas kepercayaan itu.
``Pada saya Roslin harus bekerja
keras untuk memastikan dia cukup bersedia membawa cabaran negara selain itu dia
perlu mengelak sebarang kecederaan.''
Sementara itu Roslin berkata, dia
dan Hafiz tidak mempunyai masalah menambah jadual latihan pusat malah mungkin
menyertai latihan penuh sekali pun ia bukan satu kemestian.
Katanya dalam baki tiga minggu
sebelum kejohanan 9-19 Mei ini, apa yang difikirkan adalah melakukan yang
terbaik demi kepentingan negara.
Selain Roslin dan Hafiz, turut
membawa cabaran perseorangan negara ialah Wong Choong Hann, Ong Ewe Hock dan
Lee Tsuen Seng, manakala cabaran beregu dipikul oleh Chan Chong Ming-Chew Choon
Eng, Choong Tan Fook-Lee Wan Wah dan Chang Kim Wai.
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0420&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4c8g8reoB©
Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan