Ahad, 18 Mac 2018

Hafiz ketuai kemaraan ke babak akhir Terbuka India


ARKIB : 29/03/2009
KUALA LUMPUR - Pemain-pemain negara meneruskan persembahan cemerlang apabila mengesahkan tiga daripada lima aksi perlawanan akhir badminton Terbuka India selepas mengetepikan lawan masing-masing pada separuh akhir, semalam.

Muhammad Hafiz Hashim mengetuai cabaran pemain negara apabila mara ke perlawanan akhir perseorangan lelaki selepas menewaskan pemain China, Chen Long 21-18, 19-21, 21-15.

Namun, hasrat Hafiz untuk mencatat kejuaraan pertama sejak sekian lama berdepan laluan sukar apabila menentang pilihan kedua kejohanan, Taufik Hidayat dalam perlawanan akhir hari ini.

Taufik melangkah ke perlawanan akhir selepas mudah melepasi tentangan pemain senegara Tommy Sugiarto 21-13, 21-11.

Malaysia turut mempunyai wakil dalam acara perseorangan wanita apabila Julia Wong mengetepikan pemain Singapura Zhang Bei-wen 19-21, 21-13, 21-15 dan akan menentang pemain Perancis, Pi Hongyan di perlawanan akhir hari ini.

Beregu veteran negara, Choong Tan Fook-Lee Wan Wah hanya memerlukan 24 minit untuk menyingkirkan pasangan Indonesia Joko Riyadi-Candra Wijaya 21-6, 22-20 untuk ke final.

Pasangan pilihan pertama kejohanan itu akan ditentang lawan dari Singapura Hendri Kurniawan Saputra-Hendra Wijaya bagi penentuan juara beregu lelaki.

Hendri-Hendra melangkah ke akhir selepas mudah menundukkan cabaran beregu Indonesia, Alvent Yulianto Chandra-Hendra Aprida Gunawan 21-13, 21-15 dalam masa 24 minit.

Sementara itu, beregu campuran negara Ong Jien Guo-Chong Sook Chin kandas pada separuh akhir apabila terpaksa akur pada kehebatan pasangan tuan rumah, Diju Valiyaveetil-Jwala Gutta 21-11, 21-12.



SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0329&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz5A6oJoM9V
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan